Paling Popular
Terkini

Mahkamah sivil tidak akan mendengar permohonan saman bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim untuk membatalkan keputusan pilihan raya kecil di Kelantan itu tahun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bersedia mendengar cabaran sivil bekas wakil rakyat itu berhubung isu pemberhentian keahliannya dalam Bersatu.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Bersatu dan permohonan speaker Kelantan Mohd Amar Abdullah untuk membatalkan saman pemula Azizi terhadap defendan.

Dia hanya membenarkan permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman terhadapnya.

Gambar Hiasan - Mohd Azizi Abu Naim (kiri)

Pada Jun tahun lalu, speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas dimaklumkan oleh Bersatu bahawa keahlian Azizi dihentikan.

Dua bulan kemudian pada 17 Ogos, pilihan raya kecil Nenggiri diadakan, dengan calon Umno Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memenangi kerusi DUN itu.

Pada prosiding mahkamah terbuka hari ini, Roz Mawar memutuskan Azizi tidak memilih untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu apabila plaintif berpeluang berbuat demikian.

Hakim berkata saman pemula bukan cara yang tepat untuk mencabar keputusan pilihan raya kecil, kerana hanya petisyen pilihan raya adalah cara yang sesuai untuk memulakan  cabaran sedemikian.

"(Isu pilihan raya kecil) Akademik melainkan (ada bukti) penipuan. Di sini, plaintif berhak bertanding tetapi dia tidak (berbuat demikian).

"Kegagalannya untuk bertanding tanpa bukti penipuan menunjukkan bahawa tindakan (melibatkan bahagian pilihan raya kecil) adalah dipertikaikan. Dia tidak sertai (dalam pilihan raya negeri)," kata Roz Mawar.

Bagaimanapun, hakim berkata mahkamah sivil akan mendengar cabaran Azizi berhubung isu status keahlian Bersatu kerana ia melibatkan hak perlembagaannya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tuntutan saman pemula itu, Azizi menegaskan, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Hakim kemudian menetapkan 28 April untuk perbicaraan penuh.

Azizi adalah seorang daripada enam wakil rakyat Bersatu yang keahlian mereka dalam parti pembangkang menjadi isu apabila mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS