SURAT | Henti manipulasi isu kaum
SURAT | Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa semua pihak agar menghentikan sebarang bentuk manipulasi isu perkauman yang banyak dilaporkan kebelakangan ini termasuk menerusi hantaran dan komen berbau hasutan dalam sosial media.
Abim menyambut baik penegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bahawa platform Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) dapat diperkasakan dalam membina masyarakat yang bersatu padu dalam kepelbagaian, selari dengan prinsip Madani yang berlandaskan perpaduan, saling menghormati serta menjamin keadilan sosial.
Abim berpandangan bahawa peranan Harmoni yang mula bermesyuarat semalam yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Perpaduan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh keharmonian antara penganut agama.
Abim menegaskan jawatankuasa ini bukan bertujuan untuk menyamakan semua agama yang menggugat mana-mana pihak. Keharmonian yang ingin diwujudkan adalah keharmonian antara penganut pelbagai agama dan bukannya keharmonian antara agama-agama itu sendiri.
Sebarang persepsi bahawa jawatankuasa ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas kerana ia tidak mengubah ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bahkan jawatankuasa Harmoni membantu mengukuhkan kedudukannya, selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi, sambil menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Islam menyeru kepada dialog antara masyarakat berbilang agama. Abim menegaskan bahawa asas ini terkandung dalam Surah al-Ankabut ayat 46 yang menegaskan: "Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik (illa billati hiya ahsan)." Prinsip ini menunjukkan keutamaan pendekatan dialog yang harmoni dalam menangani perbezaan.
Jenama Harmoni telah sedia ada berperanan sejak 2020 bahkan bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dilaksanakan menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang memainkan peranan sejak 2010-2019.
Pelbagai inisiatif perpaduan dan antara agama telah dijalankan untuk memupuk keharmonian nasional tanpa menjejaskan kedudukan Islam dalam negara.
Justeru Abim menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dan untuk lebih terbuka dalam menerima kepelbagaian dan mencari titik persamaan yang boleh memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam negara. Ini kerana sebarang kata-kata serta tindakan untuk mencipta persepsi negatif tidak boleh dihapuskan natijahnya dengan permohonan maaf di kemudian hari.
AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/1035/389cb483a14b718bb32234e0f682a9c0.jpg)
