Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin mana nak jumpa Mahathir, soal Anwar
Diterbitkan:  Feb 21, 2025 8:43 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing berjumpa dengan bekas perdana menteri itu.

Anwar berkata tiada mana-mana pemimpin luar negara yang ingin bertemu dengan Mahathir.

“Jangan dilayan sangat, sebab pertamanya, pemimpin luar mana nak jumpa dia? Kalau nak jumpa pun apa masalahnya, kalau kawan dia dulu, nak kenal, nak jumpa… tak ada.

“Yang baru-baru ini pemimpin Thailand, Jepun, Indonesia, Turkiye, tak ada yang minta nak jumpa, kalau minta, tak akan saya nak kata jangan. Jumpalah, apa salahnya?,” kata Anwar seperti dilapor Bernama.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.

Baru-baru ini Mahathir mendakwa Anwar menghalang beberapa pemimpin negara asing daripada bertemu dengannya.

“Ada pemimpin negara asing dari dua tiga buah negara minta nak jumpa saya, oh (Anwar kata) tak boleh jumpa.

“Pemimpin itu kawan saya, kenal dengan saya. Mereka datang ke Malaysia nak jumpalah dengan saya, (namun Anwar cakap) oh tak boleh. Jadi beliau yang potong semua hubungan,” dakwanya ketika ditemu bual dalam sebuah podcast.

Anwar berkata dakwaan dibuat Dr Mahathir itu tidak seharusnya dilayan.

“Hari-hari dia buat dakwaan, saya (Dr Mahathir) mana ada duit, (tapi) anak dia RM1 bilion lebih, itu bukan pertuduhan, itu pengakuan,” katanya.

Dia merujuk kepada kenytaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang sebelum ini dilaporkan berkata dua anak Mahathir memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion.

Sementara itu Anwar berkata Malaysia akan terus bersuara memperjuangkan isu rakyat Palestin yang sedang berdepan kezaliman Israel.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara bebas dan berdaulat, serta boleh menyatakan pendirian di mana-mana sahaja.

“Kita punyai pendirian dan ini sudah kita suarakan dengan tegas di merata tempat. Kita bukan memilih untuk memusuhi sesiapa tetapi mana sahaja bentuk kezaliman dan kekejaman, (mereka yang dizalimi) harus kita bela dan perjuangkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS