Kerajaan akan membentangkan dan membahaskan bagi meluluskan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen (PSA) 2025, bersama dengan Rang Undang-undang pindaan perlembagaan, dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said akan membentangkan dua rang undang-undang itu untuk bacaan kali pertama pada 24 Feb.

"Kabinet juga telah bersetuju agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua, yang dijangka pada 4 Mac," kata Fahmi.

Dia berkata Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2025 akan menubuhkan Majlis Parlimen yang dipengerusikan bersama oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara, manakala rang undang-undang pindaan perlembagaan adalah untuk membenarkan dua pemegang tugas itu menjadi ahli majlis berkenaan.

“RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah langkah pertama dalam usaha ke arah mereformasi institusi dan penambahbaikan kepada institusi demokrasi utama negara, iaitu parlimen,” kata menteri komunikasi itu.

Sebelum ini, pertubuhan masyarakat sivil yang mendesak untuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen menggesa Putrajaya telus dengan draf akhir rang undang-undang itu.

Kumpulan itu menggesa kerajaan mengadakan sesi perbincangan terakhir dengan semua pihak berkepentingan sebelum rang undang-undang itu dibawa ke Dewan Rakyat.

Akta Perkhidmatan Parlimen mula digubal pada tahun 1963, hanya beberapa bulan sebelum pembentukan Malaysia.

Ia membenarkan Parlimen bertindak sebagai badan yang benar-benar bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangannya dan mengawal perbelanjaannya.

Walau bagaimanapun, ia telah dimansuhkan pada tahun 1992 dan diletakkan sebagai agenda reformasi utama di bawah pentadbiran sekarang.