Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi bebas, lepas kes hasutan berkaitan Agong ke-16
Diterbitkan:  Feb 24, 2025 10:57 AM
Dikemaskini: 7:57 AM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor daripada tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah.

Hakim, Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Masri Daud memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi Sanusi.

“Hari ini sepatutnya perbicaraan kes namun kami (pendakwaan) telah meneliti representasi itu dan memutuskan untuk memohon perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA).

“Representasi itu telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara. Semua keputusan itu kini terpulang kepada mahkamah,” katanya.

Prosiding kes itu yang sepatutnya bermula hari ini.

Peguam yang mewakili Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud  bagaimanapun memohon anak guamnya dibebaskan sepenuhnya.

“Apabila pihak pendakwaan menzahirkan niat tidak meneruskan pertuduhan, ia perlu tunjuk niat untuk memberhentikannya (bukannya DNAA).

“Ini menimbulkan rasa tidak selesa dan tidak menggambarkan pertuduhan mahu dihentikan. Mohon anak guam saya dibebaskan sepenuhnya,” katanya.

Pada 18 Julai 2023, Adun Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Al-Sultan Abdullah dalam sebuah ceramah di Gombak dengan menyentuh pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.

Pada 10 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi sama melepas dan membebaskan Sanusi daripada satu pertuduhan menghasut yang berkait dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Aslam ketika itu memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap Sanusi dan menarik balik pertuduhan dihadapi Muhammad Sanusi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS