Sebuah badan pemantau pilihanraya telah menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya menyiasat punca pertambahan mendadak jumlah pengundi dalam kawasan Parlimen Ipoh Timur yang merupakan kubu kuat pembangkang.

Dalam satu kenyataan semalam, Bersih - gabungan 26 badan bukan kerajaan (NGO) dan lima parti pembangkang - menyuarakan kebimbangannya terhadap pertambahan 8,463 pengundi baru dalam tempoh tiga bulan, seperti yang dilaporkan dalam Malaysiakini.

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, semakan senarai pemilih bagi suku tahun kedua - dari 1 April hingga 30 Jun - telah mendedahkan pertambahan pengundi tersebut.

Angka tersebut dipecah seperti berikut:

1. Pemindahan kesemua 2,231 pengundi di pusat mengundi Pengkalan Pegoh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat/Parlimen Gopeng ke DUN Pasir Pinji/Parlimen Ipoh Timor.

2. Pertambahan mendadak undi pos seramai 3,208 orang walaupun tidak dapat kem tentera atau balai polis baru; dan

3. Pertambahan luarbiasa pengundi baru atau mereka yang dipindahkan ke Ipoh Timor - angkanya ialah 3,024 pengundi baru, sedangkan kebiasaannya jumlahnya adalah kira-kira 400 bagi setiap suku tahun.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjelaskan bahawa pemindahan pengundi dari Sungai Rapat ke Pasir Pinji adalah untuk memperbetulkan apa yang tidak dibuat dalam pilihanraya umum lalu, dan suruhanjaya itu mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, DAP tidak berpuashati dengan penjelasan Abdul Rashid itu kerana ianya dilakukan tanpa pengetahuan pengundi atau wakil rakyat di situ.

Bersih juga berkata, ada 'sesuatu yang tidak kena dengan angka tersebut' kerana ia merupakan pertambahan sebanyak 12 peratus bagi sebuah kerusi yang mempunyai 73,333 pengundi dalam pilihanraya umum 2004.

Dalam pilihanraya umum 2004, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menewaskan calon MCA, Thong Fah Chong di Parlimen Ipoh Timur, dengan majoriti 9,774 undi.

"Integriti senarai pemilih merupakan salah satu elemen moral terpenting dalam sesebuah pilihanraya.

"(SPR perlu) memperbetulkan masalah tersebut atau berdepan dengan risiko kehilangan kredibilitinya sebagai sebuah institusi yang berkesan dan telus," kata Bersih. Berita asal