Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan USAID dicuti atau diberhentikan
Diterbitkan:  Feb 24, 2025 12:17 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

GLOBAL l Kakitangan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) akan mula bercuti secara rasmi mulai malam Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa). 

Semua kakitangan "lantikan terus" yang berkhidmat di seluruh dunia, kecuali mereka yang memegang jawatan kritikal akan tertakluk kepada "administrative leave" bermula 11.59 malam Ahad (0459 GMT Isnin), menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang USAID. 

"Pada masa yang sama, USAID mula melaksanakan pengurangan tenaga kerja yang akan menjejaskan kira-kira 1,600 kakitangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat," menurut kenyataan itu. 

Pelan berkenaan kali pertama diumumkan awal bulan ini tetapi ditangguhkan oleh perintah mahkamah.

Namun, pada Jumaat, Hakim Carl Nichols menarik balik perintah sekatan sementara yang dikeluarkannya sebelum ini, membolehkan proses pengurangan tenaga kerja diteruskan. 

USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia dengan kira-kira 10,000 kakitangan, manakala dua pertiga daripadanya bertugas di luar Amerika Syarikat.

Agensi itu bertanggungjawab menyalurkan sebahagian besar bantuan kemanusiaan kerajaan AS kepada negara membangun serta negara yang menghadapi krisis.  

Presiden Donald Trump sebelum ini berulang kali mendakwa agensi itu dikendalikan oleh "pelampau radikal" yang cuba menghalang agenda dasar luar "America First" yang diperjuangkannya. 

Pada Januari lalu, beliau membekukan dana USAID bagi membolehkan semakan dalaman dijalankan, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai inisiatif bantuan di seluruh dunia. 

- Bernama-dp


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS