Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin telah mengarahkan pihak media supaya tidak memperbesar-besarkan berita-berita negatif, kerana menurutnya, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kesediaannya untuk mendengar 'kebenaran', bukan dituju kepada pihak media.

Zainuddin memberitahu demikian dalam mesyuarat selama sejam dengan editor akhbar-akhbar utama tempatan, di ibupejabat RTM di Kuala Lumpur Rabu lalu, termasuk dari agensi berita nasional, Bernama.

Beliau adalah antara dua pemimpin tinggi kerajaan yang mengadakan perjumpaan dengan para editor media.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan meminta organisasi media supaya mengelak daripada membesar-besarkan berita-berita negatif mengenai kerajaan, seperti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006.

Menurut sumber-sumber, Zainuddin memulakan mesyuarat tersebut dengan menyatakan bahawa beliau akan sentiasa mengadakan perjumpaan dengan para editor untuk menasihatkan mereka mengenai isu-isu nasional.

Bagaimanapun, menteri itu menegaskan bahawa beliau hanya akan memberi nasihat dan bukannya memberi amaran. Zainuddin mendakwa, beliau berbuat demikian atas arahan Perdana Menteri.

Zainuddin kemudian menjelaskan bahawa kenyataan Abdullah mengenai kesediaannya untuk "mendengar kebenaran" dan meningkatkan ketelusan itu, sebenarnya ditujukan kepada jabatan kerajaan dan anggota Barisan Nasional (BN), bagi membantu kabinet membuat keputusan.

Menurut sumber-sumber itu lagi, Zainuddin berkata, kenyataan Abdullah itu tidak memberi 'lampu hijau' kepada pihak media untuk melaporkan apa sahaja, kerana menurutnya, ada sesetengah perkara yang dianggap terlalu sensitif.

Menurut Zainuddin lagi, kabinet sentiasa meneliti laporan media dan mendapati, ada masanya, kenyataan Abdullah telah disalahtafsirkan. Bagaimanapun, menteri itu tidak mengulas lanjut.

Beliau secara khusus menamakan dua stesen TV, dan mengingatkan mereka supaya mengelak membuat laporan yang mengandungi unsur-unsur perkauman kerana ia boleh mencetuskan satu lagi peristiwa '13 Mei'.

Tiada siaran langsung

Zainuddin menyalahkan laporan negatif media sebagai punca rakyat hilang keyakinan terhadap pasukan polis.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak media supaya bersikap adil terhadap pasukan polis yang menurutnya, telah berjaya menyiasat kes-kes selama ini.

Beliau kemudiannya menyentuh mengenai parti-parti pembangkang yang didakwanya telah membangkitkan banyak isu-isu kontroversi.

Katanya, jika kerajaan menjawab semua isu-isu yang dibangkitkan itu, maka kerajaan akan dilihat 'terbawa-bawa' oleh permainan pembangkang.

Mengenai blogger, Zainuddin berkata, media profesional tidak sepatutnya menggunakan maklumat yang disiarkan dalam blog.

"Mereka (blogger) adalah wartawan rakyat. Jika anda menggunakan (maklumat dari) blog mereka, maka anda bukanlah wartawan sebenarnya," kata beliau.

Mengenai perhimpunan agung Umno tahun lalu, Zainuddin berkata, langkah menyiarkannya secara langsung adalah "satu kesilapan besar".

Oleh itu, katanya, sesi perbahasan dalam perhimpunan itu pada masa depan, tidak akan disiarkan secara langsung.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengumumkan sesi perbahasan tidak akan lagi disiarkan secara langsung.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memetik beliau sebagai berkata, rakyat Malaysia belum lagi bersedia untuk mendengar perdebatan secara terus terang. Berita asal