Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb menteri nafi Ne Zha 2 disekat tayangan akibat imej babi
Diterbitkan:  Feb 24, 2025 4:44 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menafikan khabar angin filem animasi Tahun Baru Cina Ne Zha: The Devil Child Rages at the Sea (Ne Zha 2) tidak dapat ditayangkan di Malaysia kerana imej babi dalam filem tersebut.

Terdahulu, pawagam tempatan mengumumkan Ne Zha 2 akan ditayangkan bermula 13 Mac.

Spekulasi tercetus selepas TGV Cinemas pada awal bulan ini mengeluarkan pengumuman di laman webnya bahawa Ne Zha 2 akan ditayangkan. Namun, pada 6 Februari, TGV mengeluarkan penjelasan dan permohonan maaf di halaman Facebook mereka.

“Kami faham ramai yang bertanya mengenai Ne Zha 2. Dalam keterujaan kami, kami secara tidak sengaja menerbitkan pengumuman di laman web sebelum mendapat pengesahan rasmi.

“Pada masa ini, tiada butiran yang telah dimuktamadkan. Kami memohon maaf atas kekeliruan ini dan menghargai pemahaman anda.”

Kelewatan tayangan Ne Zha 2 di Malaysia telah mencetuskan spekulasi di kalangan netizen.

Sebagai respons, Teo Nie Ching memuat naik sebuah video pendek di Facebook pagi ini, menafikan dakwaan filem itu tidak dapat ditayangkan akibat kewujudan imej babi.

“Saya tahu ramai yang menanti-nantikan filem ini, tetapi pada masa yang sama, khabar angin mula tersebar di media sosial,” katanya.

“Khabar angin itu mendakwa Malaysia mungkin tidak dapat menayangkan filem ini kerana tunggangan Taiyi Zhenren dalam filem tersebut seekor babi.

“Di sini, saya ingin jelaskan secara terang dan jelas—dakwaan ini berita palsu yang tidak bertanggungjawab.”

Teo turut menyebut dua filem lain—Moana 2 dan Mufasa: The Lion King—sebagai contoh bagi menyangkal tuduhan tersebut.

Dia menegaskan kedua-dua filem itu juga mengandungi imej babi tetapi tetap ditayangkan di Malaysia tanpa sebarang masalah.

Teo turut mendedahkan pengedar filem Ne Zha 2 di Malaysia serta tarikh tayangannya baru sahaja dimuktamadkan minggu lalu.

Dia menggesa orang ramai supaya menyokong filem ini dengan membeli tiket apabila ia mula ditayangkan pada 13 Mac.

“Namun, janganlah menyebarkan berita palsu hanya kerana anda menyukai Ne Zha, kerana ini boleh menjejaskan reputasi Malaysia," katanya.

Menurut laporan media, versi Malaysia bagi Ne Zha 2 akan mempunyai durasi yang sama seperti versi asal dari China, iaitu 144 minit.

Selain itu, laporan turut menyebut Ne Zha 2 melepasi kutipan 10 bilion RMB di box office China, menjadikannya filem dengan kutipan tertinggi dalam sejarah negara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS