Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB batal saman AS$248 juta terhadap anak tiri Najib
Diterbitkan:  Feb 24, 2025 8:24 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

1MDB menarik balik saman sivil bernilai AS$248 juta terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dan syarikatnya Red Granite dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan The Edge, peguam 1MDB Rabindra S Nathan daripada firma guaman Messrs Shearn Delamore memaklumkan kepada mahkamah pihaknya menerima arahan daripada syarikat pelaburan negara itu untuk menarik balik kes tersebut.

"Saya telah menerima arahan untuk menarik balik tindakan terhadap semua defendan," katanya.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan bagi keputusan penarikan balik itu. Laporan itu juga menyebut peguam Riza, Shafee Abdullah tidak membantah penarikan tersebut.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan kemudian menetapkan hari Jumaat ini untuk penghujahan mengenai isu kos bagi kedua-dua pihak.

Prosiding saman oleh 1MDB terhadap Riza, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited bermula pada 16 Oktober tahun lalu, dengan pembelaan Riza bermula minggu lalu.

Penyelesaian global

Dalam prosiding minggu lalu, Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zamri Zainul Abidin tampil memberi keterangan bagi pihak defendan, iaitu Riza dan Red Granite.

Zamri dilaporkan berkata Riza telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama, AS$248 juta.

Menurut laporan The Edge, Zamri turut memberi keterangan dalam representasi yang dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Riza dan pasukan peguamnya menyatakan kesediaan mereka untuk mencapai penyelesaian global dalam usaha mendapatkan semula dana AS$248 juta.

Red Granite Pictures, yang diasaskan bersama oleh Riza dan penerbit filem Amerika, Joey McFarland, pernah menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang memenangi Anugerah Akademi dan dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, selain beberapa filem lain.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan anak syarikatnya telah memfailkan saman terhadap Riza dan dua syarikatnya atas dakwaan menerima dana AS$248 juta yang diseleweng daripada 1MDB.

Wang itu didakwa digunakan untuk kepentingan peribadi, termasuk membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai hartanah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS