Lepas saman RM10j selesai, Amirudin harap Sanusi politik secara fakta
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari "menerima baik" permohonan maaf diucapkan Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah sewaktu kempen pilihan raya negeri (PRN) 2023.
Kata Amirudin, permohonan maaf dan aku janji Sanusi dibuat melalui peguam kedua-dua pihak.
Katanya permohonan maaf pemimpin kanan PAS dan PN itu dilaksanakan dalam mahkamah di hadapan hakim, Rozi Bainon.
"Saya menerima permohonan maaf serta aku janji yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Sanusi Md Nor dan berharap agar kita dapat bergerak ke hadapan dengan cara berpolitik yang berlandaskan fakta untuk kebaikan rakyat, mengelak daripada tohmahan dan fitnah supaya kita dapat fokus kepada membina negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak menambah, dalam penghakiman persetujuan tersebut, Sanusi telah beri ikrar di hadapan hakim bahawa kenyataan yang disebut sewaktu kempen PRN lalu tidak akan diterbitkan ataupun diulangi pada masa hadapan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyelesaikan saman fitnah bernilai RM10 juga yang difailkan oleh Amirudin.
Bagaimanapun syarat-syarat lain penyelesaian tersebut tidak didedahkan dalam penghakiman persetujuan itu.
Pada 30 Ogos 2023, Amirudin memfailkan saman sivil berhubung dakwaan dia terlibat dengan tokoh korporat, Vincent Tan, dalam skandal berkaitan projek pembersihan Sungai Klang.
Saman fitnah itu dibuat susulan ucapan Sanusi di ceramah di Jitra pada bulan yang sama tahun itu. Tan juga telah memfailkan saman fitnah yang serupa terhadap Sanusi.
Amirudin diwakili oleh peguam Haijan Omar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/393923a6281040a5ebd839fe39f6b959.jpg)
