Paling Popular
Terkini

Yayasan Tamilar Kural Malaysia hari ini menyerahkan memorandum kepada Anwar Ibrahim bagi memohon campur tangan perdana menteri terhadap nasib sejumlah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Berkumpul di luar parlimen bersama keluarga tahanan petang ini, pengerusinya, David Marshel, berkata hanya perdana menteri sahaja yang faham seksa dan derita apabila dizalimi ketika menjadi tahanan penjara.

“Kami percaya sebab dia pun pernah meringkuk dalam penjara dan juga pernah memaklumkan bahawa dia juga dizalimi dalam penjara.

"Jadi, kami harap perdana menteri dapat tengok nasib rakyat dibawah yang dizalimi ini.

“Kami minta perdana menteri campur tangan dan tak percaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menteri-menteri lain," katanya kepada pemberita di luar bangunan parlimen hari ini.

Untuk rekod semasa mengadakan lawatan rasminya ke UK, Anwar dilaporkan berkata, dia tidak mahu bekas perdana menteri Najib Razak menderita di penjara seperti yang pernah dialaminya.

"Saya juga pernah melalui ‘neraka’ itu, dan kurungan bersendirian. Saya tidak diberi sebarang makanan luar kecuali makanan penjara.

"Tetapi adakah saya perlu melayan Najib dengan cara yang sama? Saya kata tidak, maksud saya, dia adalah bekas perdana menteri," katanya dalam temu bual dengan Financial Times.

Mengulas lanjut kehadiran mereka hari ini, David berkata, dia hadir bersama keluarga mangsa tahanan Sosma kerana sudah hilang kepercayaan terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya keluarga mangsa tahanan juga merasakan kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka kerana sehingga kini tiada sebarang perkembangan berhubung kes siasatan yang dilakukan terhadap tahanan terbabit.

Sebaliknya, kata David, mereka hanya mendengar berita tentang kematian mangsa tahanan dan insiden tahanan dipukul.

“Jadi, hari ini kami datang untuk menyerahkan memorandum kerana keluarga merasakan tidak adil apabila hanya mendengar berita ada kematian dalam tahanan, ada kes pukul yang teruk seperti di Penjara Sungai Buloh, kes tahanan mati dalam Penjara Taiping, Penjara Pokok Sena dan banyak lagi," katanya.

Sementara itu David berkata kerajaan juga perlu mengkaji semula tuduhan yang dikenakan terhadap tahanan Sosma dan mengingatkan semasa pentadbiran PH, Dr Mahathir Mohamad melayan tahanan dengan lebih baik apabila lebih 400 tahanan dibebaskan.

“Tetapi kali ini selepas perdana menteri sendiri memberi tahu bahawa Sosma hanya boleh digunakan untuk pengganas, kami mahu tahanan Sosma ini didakwa di mahkamah di bawah Kanun Keseksaan sedia ada.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS