Keputusan 1MDB menarik balik saman sivil bernilai RM1.1 bilion terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz memberi gambaran seolah-olah pihak yang didakwa terlibat dalam skandal mega boleh terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan tegas diambil terhadap mereka, kata pemimpin Pemuda Bersatu.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Pemuda Bersatu, Na’im Brundage berkata jumlah RM1.1 bilion bukanlah kecil dan sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, berdasarkan anggaran kos yang pernah dilaporkan kerajaan, jumlah ini boleh digunakan untuk membina 36 sekolah, 55 klinik kesihatan, 7,333 rumah mampu milik, atau menaja biasiswa untuk 22,000 pelajar yang memerlukan.

“Namun, sebaliknya, wang ini dibiarkan lesap tanpa sebarang usaha dari kerajaan untuk dipulangkan semula kepada rakyat.

“Armada Bersatu menuntut penjelasan segera daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia mengenai keputusan menarik balik saman terhadap Riza Aziz ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, peguam 1MDB Rabindra S Nathan daripada firma guaman Messrs Shearn Delamore memaklumkan kepada mahkamah pihaknya menerima arahan daripada syarikat pelaburan negara itu untuk menarik balik kes tersebut.

"Saya telah menerima arahan untuk menarik balik tindakan terhadap semua defendan," katanya.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan bagi keputusan penarikan balik itu. Laporan itu juga menyebut peguam Riza, Shafee Abdullah tidak membantah penarikan tersebut.

Na’im berkata keputusan itu juga menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan dalam mengembalikan semula wang rakyat yang didakwa diselewengkan dalam skandal 1MDB.

“Sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB bertanggungjawab untuk menjaga dan melindungi aset negara yang diamanahkan kepadanya.

“Tindakan menghentikan usaha mendapatkan kembali RM1.1 bilion ini bukan sahaja sangat tidak bertanggungjawab, malah ia juga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya.

Tambahnya lagi, kegagalan memberi jawapan hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa wujudnya dua darjat dalam sistem keadilan negara, yang mana individu berprofil tinggi seperti anak bekas perdana menteri diberikan layanan istimewa sedangkan rakyat biasa dikenakan tindakan tegas undang-undang tanpa sebarang kompromi atau belas kasihan.