Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita PKR sedikit lesu, perlu nafas baru - Rodziah
Diterbitkan:  Mar 5, 2025 10:04 AM
Dikemaskini: 2:04 AM

Sayap Wanita PKR yang kini dipimpin oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek disifatkan 'sedikit lesu', menurut pesaing dalam parti, Rodziah Ismail.

Ahli parlimen Ampang itu, yang tewas kepada Fadhlina dalam pemilihan parti lalu dengan perbezaan hanya 32 undi berkata dia sedang mempertimbangkan untuk bertanding semula bagi jawatan tersebut bagi membawa pembaharuan dalam kepimpinan sayap wanita parti.

"Saya sedang melihat keperluan yang ada dan memahami hasrat akar umbi yang mahu saya terajui (Wanita PKR).

“Jadi, saya faham dan saya dapati banyak ruang yang perlu diperbaiki.

“Saya amati ada sedikit kelesuan dan ia perlu diberi nafas baharu,” kata Rodziah seperti dipetik oleh Sinar Harian semalam.

Pada pemilihan PKR 2022, Fadhlina memperoleh 18,923 undi manakala Rodziah mendapat 18,891 undi, menjadikan perbezaan mereka sangat tipis.

Namun, proses pemilihan kali ini akan berbeza kerana PKR akan kembali menggunakan sistem undian perwakilan seperti yang diamalkan oleh kebanyakan parti bagi jawatan utama, berbanding sistem sebelumnya yang memberi hak mengundi kepada setiap ahli parti.

PKR dijangka mengadakan pemilihan kepimpinan pusat pada Mei.

Buat masa ini, masih belum jelas jika sebarang perubahan kepimpinan dalam parti akan membawa kepada rombakan kabinet, seperti yang sering berlaku dalam kerajaan-kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, Rodziah, yang juga bekas exco Selangor berkata dia juga akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua Cabang PKR Shah Alam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS