Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
27 pegawai imigresen yang ditahan di kelab malam diberi kaunseling
Diterbitkan:  Mar 5, 2025 11:51 AM
Dikemaskini: 4:17 AM

PARLIMEN l Pegawai Imigresen yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab malam pada April tahun lalu telah dihantar untuk sesi kaunseling, menurut Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Saifuddin memaklumkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada awalnya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 27 pegawai yang terlibat.

"Merujuk kepada 27 orang pegawai imigresen yang terlibat semasa serbuan di kelab malam, surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada pegawai bagi mengetahui alasan keberadaan mereka di premis tersebut dan bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dakwaan penyalahgunaan dadah.

"Seterusnya, mereka yang terlibat juga telah diberi kaunseling dan peringatan oleh Pengarah Imigresen Negeri serta akujanji telah diadakan pada 3 Mei 2024," katanya.

Saifuddin menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang meminta penjelasan mengenai tindakan terhadap pegawai imigresen berkenaan.

Saifuddin menambah siri ujian air kencing yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara 4 Jun hingga 14 Jun 2024 mengesahkan semua pegawai berkenaan negatif dadah.

Menurut laporan media, 27 pegawai imigresen itu antara 161 individu yang ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah kelab malam di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, pada 26 April tahun lalu.

Bagaimanapun, polis membebaskan mereka selepas keputusan ujian dadah didapati negatif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS