Telefon bimbit wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar masih dalam simpanan SPRM.
Nantha dibebaskan semalam selepas empat hari ditahan reman kerana didakwa menerima rasuah RM20,000.
Malaysiakini menggesa SPRM untuk memastikan integriti kandungan telefon itu tidak terjejas.
“Kandungan sama ada dalam bentuk imej atau mesej adalah penting untuk wartawan kami membuktikan pembelaannya.
“Kami juga mengulangi gesaan kami agar SPRM memastikan keselamatan pemberi maklumat dan sumber wartawan tidak terjejas,” kata portal berita itu.
Nantha didakwa menerima RM20,000 daripada ejen yang berurusan dengan pekerja asing sebagai balasan untuk tidak menerbitkan dua artikel yang akan mendedahkan kartel itu.
Nantha telah bekerja dengan Malaysiakini sejak 2018 dan banyak menulis mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
