PARLIMEN l Walaupun Putrajaya pada masa ini tidak bercadang untuk meminda undang-undang antilompat parti, ia tetap terbuka untuk perbincangan mengenai perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan tetap komited untuk menganalisis potensi perubahan kepada perundangan itu.

“Kerajaan Madani sehingga kini tidak mempunyai cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Dalam hubungan ini, kerajaan Madani sentiasa bersedia bagi meneliti perkara ini dengan lebih lanjut bersama semua parti kerajaan dan pihak pembangkang,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, semalam.

Shafie Apdal (Warisan-Semporna)

Dia berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang mempersoalkan jika kerajaan bercadang untuk meminda undang-undang itu sebelum pilihan raya umum ke-16.

Pada Julai tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan terbuka kepada perbincangan mengenai pindaan undang-undang bagi menutup sebarang kelemahan dalam undang-undang antilompat parti.

Dia menegaskan apabila PH pada 2022 mencadangkan pindaan untuk memastikan mereka yang ditolak oleh parti perlu mengosongkan kerusi parlimen masing-masing, cadangan berkenaan ditolak oleh kerajaan ketika itu.

Komen perdana menteri itu dibuat selepas usaha Bersatu untuk mengosongkan enam kerusi parlimen yang diwakili ahli parlimen mereka yang berikrar menyokong kerajaan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Sementara itu, menjawab mengenai soalan berkaitan pendanaan politik, Azalina berkata buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia sumbangan politik di Malaysia.

Sehingga Februari 2025, menurutnya sebanyak lapan sesi libat urus telah diadakan, termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi kerajaan serta tiga mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Tambahnya, pada 10 Februari lalu, JKPK telah mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop rang undang-undang itu.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara dasar yang masih belum mendapat persetujuan sebulat suara, seperti yang melibatkan keperluan pembiayaan awam untuk parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik,” katanya.

Jelas Azalina, terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara, seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik.

“Justeru itu, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bersama setiausaha agung semua parti politik. Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti mengenai cadangan penggubalan RUU ini serta membincangkan persoalan dasar yang timbul.

“Kerajaan juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan daripada parti-parti politik kerajaan dan pembangkang melalui pihak universiti sebagai pihak neutral, bagi memastikan keputusan yang diambil adalah inklusif dan melibatkan pelbagai perspektif,” katanya.