Shafee bantah polis rakam kenyataan Najib, kata saksi
BICARA 1MDB l Seorang bekas pegawai penyiasat polis memberi keterangan bahawa peguam bela Shafee Abdullah membantah polis merakamkan kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak.
Saksi pembelaan R Rajagopal memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini berhubung usaha polis untuk menyiasat sama ada Najib mengarahkan firma pelaburan negara itu menjalin usaha sama AS$1 bilion pada 2009 dengan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited.
Bekas anggota polis yang telah bersara itu berkata demikian ketika menjawab soalan Shafee jika siasatan polis mendapati ada sebarang arahan daripada Najib, selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB, ketika itu.
Rajagopal berkata dia sedang menyiasat mengapa 1MDB menandatangani perjanjian usaha sama dengan entiti Cayman itu apabila syarikat itu memutuskan untuk menceburi usaha sama dengan Petrosaudi International Limited (PSI).
“Mengenai jika Najib ada beri arahan, saya memang meminta untuk merekodkan kenyataan Najib pada masa itu, tetapi Shafee membangkitkan bantahan kerana, pada masa itu, Najib sudah pun didakwa di mahkamah.
“Oleh itu, saya tidak dapat dapat penjelasan daripada Najib,” kata Rajagopal semasa memberi keterangan pada perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri itu.
Adalah dipercayai Rajagopal merujuk semasa dia masih dalam perkhidmatan dengan pasukan polis, dan Najib pada 2018 baru didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa berasingan, pecah amanah jenayah dan kes pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang bernilai RM42 juta.
Najib, yang juga bekas menteri kewangan, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes yang dikaitkan dengan SRC, sama seperti 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Pihak pendakwaan berhujah bahawa berikutan pemeteraian usaha sama itu, AS$700 juta daripada 1MDB telah dialihkan kepada entiti luar pesisir Good Star Limited, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho (Jho Low) yang kini menjadi buruan pihak berkuasa.

Sementara itu, Rajagopal memaklumkan bahawa pihak berkuasa Malaysia masih tidak tahu tentang keberadaan sekutu Low, Casey Tang, yang hilang selepas polis merakamkan kenyataannya di Bangkok pada 2016.
Rajagopal berkata dia merakamkan kenyataan Tang sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap peranan bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB dalam menandatangani pemindahan AS$700 juta kepada Good Star itu.
Pesara polis itu menegaskan bahawa Tang adalah orang yang membentangkan kepada lembaga 1MDB cadangan untuk usaha sama itu, yang diberi nama kod Project Aria.
“Tang menandatangani untuk pemindahan AS$300 juta (daripada dana 1MDB) untuk usaha sama itu, dan AS$700 juta kepada Good Star.
“Dia perlu jelaskan (kepada polis) kertas kerja usaha sama itu dan mengapa AS$700 juta tidak dipindahkan terus,” kata Rajagopal mengenai sebab polis mengeluarkan waran tangkap dan kemudian notis merah Interpol terhadap Tang.
Rajagopal: Sehingga hari ini, kami tidak tahu di mana Tang. Walaupun Interpol terdiri daripada 196 negara anggota, tidak ada maklumat daripada mana-mana negara mengenai keberadaannya.
Shafee: Kamu atau pasukan polis atau SPRM tidak dapat cari Tang untuk perbicaraan (1MDB) ini?
Rajagopal: Kami telah mencuba notis merah (Interpol) dan waran tangkap, dan sehingga kini, pada 2025, kami masih tidak dapat mengesannya.
Kenyataan polis yang direkodkan daripada Tang kemudiannya dikemukakan di mahkamah hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.
Perbicaraan bersambung esok.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/be62d9bdfe49fec22f6a521008e196a6.jpg)
