Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco), Woo Kah Leong, mengecam dakwaan bahawa warga sebuah sekolah di Teluk Intan menyanyikan lagu kebangsaan dalam bahasa Cina semasa satu acara rasmi.
Woo menjelaskan mereka yang hadir sebenarnya menyanyikan lagu negeri Perak, "Allah Lanjutkan Usia Sultan", yang mempunyai melodi yang mirip dengan lagu kebangsaan "Negaraku".
Dalam satu kenyataan hari ini, Woo berkata sekolah jenis kebangsaan Cina juga menyemai sikap patriotisme dan semangat sayangkan negeri dalam kalangan semua pelajar, sama seperti sekolah kebangsaan.
Sebab itu, katanya, warga di sekolah tersebut menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu negeri — dalam majlis rasmi sekolah.
"Saya mengalu-alukan pihak yang memainkan isu ini untuk menjejaki negeri Perak untuk memperbaiki pengetahuan am masing-masing khususnya dalam bab membezakan lagu Negaraku dan lagu kebesaran negeri Perak.
"Sebagai rakyat Perak, saya berasa sangat bangga apabila menyanyikan lagu kebesaran negeri Perak dan saya juga amat berbesar hati apabila melihat semua generasi pelajar kini tidak kira aliran sekolah pun berbuat demikian,” kata Ketua Pemuda DAP itu.
Video bertarikh Jun tahun lalu itu memaparkan Woo berdiri sebagai tanda hormat dan turut menyanyi bersama guru serta pelajar. Rakaman itu tular semula baru-baru ini.
Teks dan kapsyen yang ditambah ke dalam video itu menyatakan kehadiran pemimpin DAP itu dan membayangkan lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Cina.
Namun begitu, audio dalam video tersebut kedengaran tidak jelas.
Walaupun melodinya menyerupai Negaraku atau Allah Lanjutkan Usia Sultan, lirik sebenar yang dinyanyikan sukar untuk dikenalpasti.
