Dua bekas pegawai KBS didakwa di mahkamah
Dua bekas pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan seorang awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini atas dakwaan mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung pembelian kamera digital untuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Rembau.
Dua bekas pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan seorang awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini atas dakwaan mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung pembelian kamera digital untuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Rembau.
Ketiga-tiga tertuduh ialah bekas Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS, Kamaruzaman Md Ali, 38, dan bekas Ketua Sekolah Binaan, IKBN Chembong, Wan Asmawi Wan Shariff, 33, serta Loh Siu Le, pengurus projek kepada sebuah syarikat pembekal produk elektronik, Syarikat Kosijaya Didactic Sdn Bhd.
Semalam, Kamaruzaman dan Loh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tuduhan sama iaitu mengemukakan dokumen mengandungi tuntutan palsu.
Semua tuduhan tersebut mempunyai kaitan dengan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam.
Hari ini, Kamaruzaman yang kini Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah, dan Wan Asmawi selaku Ketua Unit Pengurusan Latihan IKBN Temerloh, Pahang, didakwa secara sedar menandatangani satu dokumen yang mengandungi butiran dengan niat memperdaya prinsipal mereka iaitu KBS, demikian menurut laporan Bernama.
Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Februari 2003 di IKBN Chembong, Rembau dengan menandatangani Sijil Penerimaan Muktamad pembelian kamera digital dengan mengakui peralatan itu berfungsi baik dan mengikut spesifikasi ditetapkan.
Loh pula dituduh bersubahat dengan memperakukan Sijil Penerimaan Muktamad bagi pihak syarikat.
Kamaruzaman dan Wan Asmawi didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama manakala Loh pula dituduh mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dibaca bersama Seksyen 20 (1) (c) akta yang sama dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta sama.
10 didakwa semalam
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Hakim Sabariah Atan kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 12 Mac tahun depan dan membenarkan ikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Joyce Blasius dan Wong Poi Yoke.
Semalam BPR telah mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negara semalam atas tuduhan yang berkaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.
Menurut Utusan Malaysia , mereka termasuk yang berjawatan pengarah dan penolong pengarah di KBS serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mereka dituduh atas pelbagai kesalahan, termasuk membuat tuntutan palsu dalam pembelian kamera digital serta pecan amanah wang bantuan kebajikan masyarakat kepada 22 penama yang telah meninggal dunia.
Manakala Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata, BPR akan menahan ramai lagi individu bersabit kes penyelewengan dan pecah amanan susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai urus dana awam.

