Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan untuk membatal dan mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap bekas pengerusi Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke.
Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan dihadapi Wong tidak cacat dan memenuhi inti pati kesalahan bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata pihaknya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan itu.
Muhammad Jamil juga berkata Wong, 29, yang sebelum ini didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret ditambah RM5,000 lagi.
Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan selaku responden untuk menambahkan hukuman denda dan menolak rayuan Wong selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.
Pada 14 Oktober 2019, ketika istiadat konvokesyen, Wong membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan “Tolak rasis”; “Undur VC’ dan “Ini Tanah Malaysia”.
Ia dipercayai ditujukan kepada Abdul Rahim yang menurut graduan itu menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM.
Sementara itu, hakim Muhammad Jamil berkata mahkamah mempertimbangkan empat isu utama dalam rayuan kedua-dua pihak iaitu pertuduhan defektif, kekhilafan dalam sabitkan kes, isu pembelaan yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan hukuman denda.
"Setelah meneliti keseluruhan kes, tiada keraguan dalam kes pendakwaan dan kesalahan seperti pertuduhan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
“Tidak ada alasan mencukupi untuk mengganggu keputusan Majistret bicara yang menyabitkan perayu dan sabitan ke atas perayu adalah selamat, oleh itu sabitan terhadap perayu dikekalkan," katanya.
Tambah Mohammad Jamil, dia bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa denda berjumlah RM5,000 adalah tidak mencukupi dan tidak bersesuaian dengan fakta dan keadaan kes ini.
"Denda RM5,000 diketepikan dan digantikan dengan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika denda gagal dibayar.
“Saya difahamkan perayu telah membayar RM5,000 sebelum ini, oleh itu dia dikehendaki membayar RM5,000 lagi," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khatijah Mohd Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Chan Hen Yui, Chong Kar Yan dan Farida Mohammad.
Mengikut pertuduhan, Wong didakwa dengan sengaja mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim dan tetamu (ketika kejadian) pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di Kuala Lumpur pukul 10 pagi pada 14 Oktober 2019.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah peruntukan sama.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
