Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez menang saman fitnahnya terhadap akhbar Utusan Malaysia dan mendapat gantirugi RM200,000.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Tee Ah Sing memutuskan bahawa artikel yang disiarkan akhbar tersebut bukan hasil kewartawanan yang bertanggungjawab.

Beliau mengambil masa hampir dua jam untuk membaca penghakiman setebal 104 muka surat.

Keputusan tersebut mendapat tepukan mereka yang hadir, terutama para kakitangan Tenaganita. Hadir sama ialah adik perempuannya Aegila dan penyelaras serantau kumpulan Caram-Asia, Cynthia Gabriel.

Sebaik sahaja mahkamah bersurai, Irene, 61 - berjalan dengan bantuan tongkat - ke arah salah seorang peguamnya, M Moganambal, sambil menitis air mata tanda kegembiraan.

Selain Moganambal, Irene turut diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar. Manakala Utusan Malaysia diwakili peguam Mubashir Mansor dan Trevor Padasian.

Keputusan hari ini diumumkan selepas 11 tahun kes itu berlarutan terhadap dua defenden - Utusan Malaysia dan penulisnya Johardy Ibrahim - berhubung sebuah artikel yang disiarkan pada 20 September 1995.

Artikel itu mendakwa Irene gagal memberi kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan siasatan berhubung sebuah memorandum. Dalam satu sidang akhbar pada bulan Ogos 1995, Irene telah mendedahkan dakwaan berlaku penyeksaan dan kematian di kem tahanan pendatang tanpa izin di Malaysia.

Dalam samannya, Irene mendakwa artikel tersebut berniat jahat dan bermaksud beliau sengaja mengelak bekerjasama dengan pihak polis, tidak jujur dan tidah berintegriti.

Artikel itu juga menggambarkan beliau sebagai seorang rakyat yang tidak taat setia dan menyebutnya sebagai menderhaka kerana mencemarkan imej negara dengan membangkitkan isu-isu tersebut.

Hujah pembelaan ditolak

Dalam pembelaannya, Utusan Malaysia menafi telah memfitnah Irene, dengan menyatakan bahawa artikel itu ditulis berdasarkan fakta.

Bagaimanapun, Tee menolak alasan itu dan berkata artikel tersebut "bernada sensasi' dan mendapati tidak ada sebarang usaha untuk mendapatkan komen Irene.

Mengenai gantirugi kepada Irene, Tee berkata Irene merupakan seorang aktivis hak asasi manusia terkemuka di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.

Beliau kemudian mengarahkan Irene dibayar gantirugi sebanyak RM200,000 berserta dengan kos dan faedahnya.

Sementara itu, peguam Mubashir memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan menunggu arahan pelanggannya sama ada untuk mengemukakan rayuan.

Di luar mahkamah, Irene memberitahu pemberita bahawa beliau amat gembira dengan keputusan hari ini.

Katanya, beliau menyokong kebebasan bersuara, namun begitu "anda mesti bertanggungjawab terhadap tulisan anda".

Sebelum ini, Irene didapati bersalah di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak atas tuduhan menerbitkan berita palsu yang mendakwa berlaku seksaan dan kematian di kem tahanan tersebut.

Irene didapati bersalah pada tahun 2003, tetapi mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman 12 bulan penjara, dan telah mengemukakan rayuan di mahkamah tingi.

Kerana hukuman tersebut, Irene yang merupakan ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR, dilarang bertanding dalam pilihanraya umum 2004,

Ditanya mengenai perkembangan rayuanya itu, Irene berkata, beliau sedang menunggu tarikh kes untuk mahkamah mendengar kes tersebut.

Irene berharap kes rayuan itu dipercepatkan supaya beliau berpeluang untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang. Irene pernah bertanding kerusi Parlimen Subang tetapi kalah.