Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM berterima kasih pada Akmal kerana bantu promosi sepanduk calon
Diterbitkan:  Apr 22, 2025 11:16 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

PSM berterima kasih kepada Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang dikatakan telah membantu mempromosikan sepanduk calon pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning parti itu.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan merujuk kepada sepanduk yang menyifatkan undi untuk BN menyamai undi untuk Akmal dan politik perkauman.

Arutchelvan berkata bahawa respons Akmal terhadap sepanduk itu telah membantu ia mencapai khalayak yang lebih besar.

Berhubung soalan ketua Pemuda Umno itu mengenai alasan PSM berkempen dengan imejnya, Arutchelvan berkata PSM tidak perlu memberi penjelasan.

"Kami pasti Tan Teik Cheng dari MCA, Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong, (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) Tiong King Sing dan juga Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim boleh bersetuju dengan kami berhubung Akmal.

“Ini semua adalah anggota kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nama-nama yang disenaraikan oleh Arutchelvan adalah mereka yang bertelagah dengan Akmal kerana didakwa membangkitkan sentimen perkauman dan agama dalam pelbagai isu.

Akmal, ketika mengulas sepanduk PSM semalam berkata pengundi tidak perlu takut kepadanya selagi mereka tidak menyentuh isu 3R.

Arutchelvan pula berkata kemungkinan lebih banyak laporan polis dibuat terhadap Akmal berhubung isu 3R berbanding mana-mana pemimpin PSM.

“Sepanduk itu pada dasarnya adalah fakta kerana ia menimbulkan percanggahan serius apabila Umno-BN cuba menggambarkan dirinya sebagai parti perpaduan. BN juga bekerja keras untuk menggambarkan PAS sebagai parti ekstremis.

“Memilih yang kurang buruk daripada semua yang buruk, adalah mantera Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menentang PAS dan Perikatan Nasional (PN) sejak sekian lama.

“Mesej PSM sebenarnya meletakkan Umno setanding dengan PAS dan apa yang kita katakan ialah BN berbohong apabila mengatakan ia menggalakkan perpaduan," katanya.

PRK Ayer Kuning diadakan selepas kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Feb.

PRK itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ketua PN Tapah Abd Muhaimin Malek, Setiausaha Umno Tapah Yusri Bakir dan Bawani KS yang merupakan timbalan setiausaha agung PSM.

Menurut penganalisis, pengundi Ayer Kuning terdiri daripada 56 peratus Melayu, 22 peratus Cina, 14 peratus India dan 8 peratus Orang Asli.

Tinjauan ringkas oleh Malaysiakini mendapati pengundi di sana berminat untuk mengekalkan cara hidup mereka yang harmoni dan semangat bermasyarakat yang kukuh.

Bagaimanapun, pengundi juga telah menunjukkan bahawa PSM sedang bergelut untuk mendapatkan sokongan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS