Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
117 ditahan dalam Ops Mega Khas di Kuala Muda

Polis menahan 117 individu menerusi Ops Mega Khas yang dilaksanakan di daerah Kuala Muda bermula 17 April lepas hingga Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah SAC Muhammad Yazid Muhammad Yew dalam kenyataan berkata jumlah itu termasuk 51 individu positif dadah dan 22 yang berada dalam senarai dikehendaki polis.

Dia berkata operasi dijalankan di lokasi kerap berlaku jenayah dan terhadap suspek yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan jenayah indeks di daerah itu.

"Operasi menyasarkan kepada elemen judi, maksiat dan gangsterisme, penjenayah yang berpotensi seperti penagih dadah dan pengedaran, selain kawasan-kawasan yang dikenal pasti menjadi kekerapan berlakunya jenayah turut diberikan tumpuan utama.

"Hasilnya kita berjaya menyelesaikan 66 kes jenayah harta benda melibatkan kes pecah rumah dan curi yang berlaku di daerah Kuala Muda," katanya.

Muhammad Yazid berkata operasi bersepadu itu melibatkan 163 pegawai dan anggota polis serta agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kementerian Kesihatan, Tenaga Nasional Bhd dan Jabatan Alam Sekitar.

"Operasi ini membuktikan komitmen Polis Kontinjen Kedah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara. Tindakan penguatkuasaan ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS