Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LANGSUNG | Rasmi: BN menang dengan 60.7 peratus undi

PRK AYER KUNING | Pengundian untuk pilihan raya kecil (PRK) DUN Ayer Kuning telah ditutup.

Saingan itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Yusri Bakir dari BN, Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN), dan Bawani KS dari PSM.

Malaysiakini membawakan anda keputusan secara langsung dari lapangan.


Sokong Malaysiakini

Ini mengakhiri laporan langsung bagi PRK Ayer Kuning.

Terima kasih kerana mengikuti laporan kami. Jika anda menyukai laporan kami, sila langgan. Sokong kewartawanan bebas.


BN rasmi menang Ayer Kuning

9.40 malam - Secara rasminya, BN telah memenangi pilihan raya kecil Ayer Kuning dengan 60.7 peratus undi.

Bahagian undi PN meningkat kepada 33.2 peratus, manakala PSM memperoleh 6 peratus undi.

Keputusan akhir mengesahkan bahawa PSM akan kehilangan depositnya.


Rakyat mengiktiraf usaha kerajaan

9.32 malam: Dalam ucapan tahniah kepada kemenangan calon BN Yusri Bakir, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata ia mencerminkan pengiktirafan rakyat terhadap usaha kerajaan perpaduan untuk memartabatkan Ayer Kuning demi kesejahteraan rakyat.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pengundi Ayer Kuning atas sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada BN.

“Kami akan terus berkhidmat kepada penduduk Ayer Kuning dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.


8.40 malam - Howard berkata kemenangan BN adalah satu lagi isyarat bahawa pakatan yang dibentuk dalam kerajaan perpaduan adalah formula kemenangan untuk sebarang cabaran yang dikemukakan oleh lawan politik mereka.

Saarani juga menyatakan bahawa kemenangan itu adalah petanda pengundi Ayer Kuning menolak politik perpecahan yang mampu meruntuhkan masyarakat.

Selepas ucapan terima kasih ringkas daripada pemimpin Umno dan PH yang lain, ahli Pemuda Umno memulakan laungan mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan Saarani.

"Terima kasih, terima kasih, undi BN" dan "Terima kasih, terima kasih, Cikgu Saarani" bergema.


BN menang 60.3 peratus undi

8.30 malam - Semua saluran pengundian telah diambil kira mengikut keputusan tidak rasmi.

BN nampaknya memenangi 60.3 peratus undi, manakala bahagian undi PN dianggarkan 33.9 peratus.

Bagi PSM, walaupun ia mempunyai lebih daripada dua kali ganda bahagian undinya, ia berada di bawah enam peratus, jauh daripada 12.5 peratus yang diperlukan untuk mendapatkan semula deposit pilihan rayanya.


MB Perak disambut sorakan penyokong

8.07 malam - Menteri Besar Perak Saarani Mohamad tiba di pusat operasi BN disambut sorakan kemeriahan penyokong.

Ahli Parlimen DAP Ipoh Timor Howard Lee, yang telah duduk di sebelah Asyraf sejak kira-kira jam 7 malam, sebelum itu membuat panggilan telefon sebaik sahaja Asyraf mengisytiharkan kemenangan BN.

Panggilan itu dipercayai dibuat kepada Saarani atau pembantunya, dengan Howard dengan ceria memberitahu orang di hujung talian bahawa menteri besar mesti hadir untuk meraikan kemenangan BN.

Dalam maklum balas segera, Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat masih percaya kepada BN.

"Dan mereka masih ingat sumbangan kami kepada kawasan ini," tambah Ahli Parlimen Tapah itu.


Asyraf Wajdi isytihar kemenangan

7.55 malam - BN telah melepasi ambang 50 peratus undi berdasarkan keputusan tidak rasmi dan anggaran peratusan keluar mengundi sekitar 58 peratus.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut mengisytiharkan kemenangan di pusat operasi BN di Ayer Kuning, disambut laungan "Allahu Akbar" oleh hadirin.

Sementara itu, prestasi PSM juga meningkat dengan ketara berbanding pilihan raya umum 2022, tetapi bahagian undinya masih jauh daripada ambang untuk tidak kehilangan deposit.


Tak rasmi: BN menang Ayer Kuning

7.45 malam - Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Malaysiakini mengumumkan BN memenangi pilihan raya kecil Ayer Kuning.

Setakat 7.45 malam, BN kurang daripada 1,500 undi untuk melepasi ambang 50 peratus, sambil mengekalkan kelebihan lebih 4,000 undi berbanding PN.

Adalah tidak mungkin bagi PN untuk mengejar dan menutup jurang tersebut memandangkan hanya tinggal 16 saluran mengundi yang belum dikira.


Undi bertambah tapi PSM mungkin hilang deposit

7.40 malam - Jumlah undi yang diterima PSM pada pilihan raya kecil ini lebih tinggi berbanding pilihan raya umum lepas.

Pada PRU15, PSM memperoleh 586 undi di DUN Ayer Kuning.

Setakat ini, parti sosialis itu memperoleh 699 undi di 20 pusat daerah mengundi.

Bagaimanapun, parti itu berkemungkinan hilang wang deposit apabila gagal memperoleh 12 peratus undi yang diperlukan.


17 saluran mengundi telah dikira

7:15 malam – BN terus mendahului apabila semakin banyak keputusan daripada pelbagai saluran undi diterima.

Setakat ini, dengan 17 daripada 67 saluran dikira, BN telah memperoleh 2,494 undi, berbanding PN yang memperoleh 751 undi dan PSM sebanyak 196 undi; memberikan BN majoriti sebanyak 1,743 undi.


Beberapa peti undi selesai dikira, BN mendahului

6:15 petang – BN mendahului selepas beberapa peti undi selesai pengiraan.

Berdasarkan jumlah yang dipaparkan di pusat operasi BN, gabungan itu memperoleh 557 undi setakat ini, berbanding 149 untuk PN dan 27 untuk PSM. Ini memberikan BN majoriti 408 undi.

BN telah berjaya memenangi sebahagian besar undi pos dan undi awal, serta daerah mengundi Kampung Raya.

Keputusan 62 saluran pengundian lagi masih belum selesai.


Aliran keluar mengundi di bawah sasaran SPR

6.00 petang – Peratusan keluar mengundi bagi PRK Ayer Kuning sehingga 4 petang menunjukkan arah aliran ke arah kira-kira 58 peratus, berdasarkan anggaran Malaysiakini.

Ini jauh di bawah sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya sebanyak 70 peratus, dan peratusan keluar mengundi 74.85 peratus semasa Pilihan Raya Umum 2022.

Bagaimanapun, sudah menjadi pola biasa untuk PRK mempunyai peratusan keluar mengundi lebih kecil berbanding pengundian semasa pilihan raya umum.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi setakat pukul 4 petang - iaitu sejam sebelum pilihan raya ditutup - ialah 54.01 peratus.

Ini adalah daripada 31,897 orang yang mendaftar untuk mengundi di kawasan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS