Perhimpunan 10 Nov: Bersih temui polis KL Khamis ini

       

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Wilayah Persekutuan, SAC1 Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin Khamis ini berhubung perhimpunan aman besar-besaran yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada jam 3 petang 10 November depan.

Menurut satu kenyataan sekretariat Bersih hari ini, pihaknya akan mengadakan sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan tersebut di ibu pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

Lapan wakil Bersih akan menghadiri perjumpaan dengan Zulhasnan. Mereka terdiri daripada wakil dari DAP, PAS, WAMI, PKR, CIJ dan Suaram.

Bersih mengadakan perhimpunan tersebut bagi mendesak kerajaan mengadakan pilihanraya yang adil dan bersih di negara ini.

Sementera itu, jurucakap Bersih, Syed Azman Ahmad berkata, sama ada Bersih akan memohon permit untuk perhimpunan tersebut, bergantung kepada hasil perbincangan dengan pihak polis.

Syed Azman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zulhasnan bahawa pihaknya belum menerima sebarang permohonan permit dari Bersih untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Syed Azman berkata, sambutan orang ramai terhadap perhimpunan 100,000 orang itu amat menggalakkan dan beliau yakin sasaran angka tersebut boleh dicapai.

Menurutnya, ahli dari lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) akan turut hadir pada 10 November itu sebagai menyatakan sokong kepada perhimpunan tersebut.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa tokoh pemimpim pembangkang dijangka menghadiri dalam perhimpunan tersebut.

Malaysiakini
terkini untuk anda