Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 7,000 kamera badan selesai diagih kepada pegawai, anggota polis

Sebanyak 7,648 unit kamera badan (BWC) diagihkan sepenuhnya bagi kegunaan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan di seluruh negara bulan lepas.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Sahabudin Abd Manan berkata penggunaan BWC diberi keutamaan kepada Unit Kereta Peronda, Unit Rondaan Bermotosikal daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik secara berperingkat bermula 7 Okt tahun lepas.

“BWC  ditempatkan di 157 ibu pejabat polis daerah (IPD) serta 640 balai polis di seluruh kontinjen. Bagi menampung keperluan sebenar BWC ini, PDRM akan mengemukakan permohonan penambahan sebanyak 10,000 unit lagi melalui Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-13 tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke IPD Besut di Jertih, hari ini.

Sahabudin berkata penggunaan BWC bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan penugasan pihak polis yang semakin mencabar.

Dia berkata penggunaan kamera badan itu juga dapat meningkatkan tata kelola yang baik dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dalam kalangan pegawai dan anggota.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS