Sebanyak RM40 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih kediaman terjejas akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Menurutnya peruntukan itu melibatkan peruntukan kerajaan persekutuan dan sumbangan awam.
Katanya kerja-kerja baik pulih bagi kediaman di sekitar Putra Heights akan dilaksana Sime Darby selaku pemaju kawasan perumahan terbabit, manakala di Kampung Sungai Baru oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).
"Proses baik pulih kediaman itu akan memberi tumpuan kepada aspek kemudahan asas seperti pendawaian elektrik.
"Bagi kerosakan kecil di bawah RM30,000, pemilik kediaman boleh melakukan kerja-kerja pembaikan kediaman mereka sendiri seterusnya buat tuntutan semula kepada PBT (pihak berkuasa tempatan),” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri menyedari kebimbangan penduduk sekiranya kerja baik pulih rumah mengambil masa melebihi enam bulan.
Dalam hal itu, katanya, kerajaan sedia membantu menyediakan bantuan sewa rumah tambahan kepada mereka yang berkenaan berdasarkan data atau maklum balas Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan SPNB.
“Selepas kita (kerajaan negeri) dapat maklum balas daripada pihak berwajib tentang keperluan proses baik pulih lebih dari enam bulan, kerajaan negeri akan tambah wang sewa kepada ketua isi rumah yang terlibat.
“Maknanya, jika sambung lagi tinggal di rumah sewa hingga lapan bulan atau setahun, kerajaan negeri juga sedia bantu bayaran sewa rumah sebanyak RM2,000 sebulan,” katanya.
MBSJ beri RM6 juta
Amirudin berkata ketika ini kerajaan menetapkan bayaran bantuan sewa rumah kepada enam bulan kerana yakin selepas tempoh itu, sebahagian besar mangsa sudah boleh pulang ke rumah masing-masing.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan bantuan sewa rumah selama tiga bulan kepada 70 ketua isi rumah, menjadikan jumlah penerima setakat ini 214 orang daripada keseluruhan 445 keluarga yang layak.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bantuan baik pulih dan pembinaan semula rumah berjumlah RM40 juta yang diberikan adalah hasil sumbangan menerusi Tabung Amanah Bencana Negara yang ditubuhkan pihaknya sejurus insiden berkenaan berlaku.
Dia berkata pembahagian dana bagi kerja-kerja itu dibuat mengikut kategori kerosakan rumah, iaitu kediaman yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula, dengan kos siling ditetapkan sebanyak RM300,000 seunit.

Bagi kerosakan melebihi 40 peratus tetapi tidak memerlukan pembinaan semula, Nga berkata, kos ditetapkan ialah RM150,000 manakala kos siling RM30,000 diberikan kepada rumah-rumah yang terjejas kurang daripada 40 peratus.
Nga berkata kementeriannya bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) turut memperuntukkan RM6 juta untuk kerja-kerja baik pulih infrastruktur awam yang terjejas dalam kejadian itu.
“Bagi kerja baik pulih rumah, SPNB dan Sime Darby akan dibenarkan memasuki tapak berkenaan bermula esok dan memulakan kerja dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian dengan tempoh ditetapkan selama 24 bulan,” katanya.
- Bernama
