GLOBAL | Presiden Donald Trump hari ini mengumumkan bahawa dia mengarahkan pihak berkuasa membuka semula Penjara Alcatraz - yang berfungsi sebagai muzium dan tarikan pelancongan sejak lebih 60 tahun lalu - lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Hari ini, saya mengarahkan Biro Penjara, bersama Jabatan Kehakiman, FBI dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk membuka semula Alcatraz dengan kapasiti lebih besar dan dinaik taraf bagi menempatkan penjenayah paling ganas dan kejam di AS,” katanya dalam satu hantaran di platform Truth Social.
Trump berkata pembukaan semula Alcatraz akan menjadi simbol kepada “undang-undang, ketenteraman dan keadilan”.
Dahulu, kata Trump, AS memang tidak teragak-agak untuk mengasingkan penjenayah berbahaya daripada masyarakat.
“Kita tidak akan lagi bertolak ansur dengan penjenayah bersiri yang menyebarkan tingkah laku yang jijik, keganasan dan kekacauan di kejiranan kita,” katanya.
Alcatraz - yang dikenali sebagai The Rock - merupakan penjara keselamatan maksimum yang terletak di sebuah pulau terpencil di Teluk San Francisco.
Selama 29 tahun, pulau itu berfungsi sebagai lokasi tahanan bagi penjenayah paling berbahaya dan sukar dikawal, termasuk mereka yang pakar dalam melarikan diri.
Banduan terakhir yang ditahan di sana dibebaskan pada 1963.
Alcatraz dianggap sebagai tempat tahanan yang mustahil untuk dibolosi banduan dan pernah menempatkan penjenayah terkenal seperti Al Capone, George Machine Gun Kelly Barnes, Alvin Creepy Karpis Karpavicz dan Robert Stroud.
Sejak dibuka pada 1934, ia sudah menjadi tempat kepada 1,576 banduan.
Pulau Alcatraz kini berstatus muzium, mercu tanda bersejarah kebangsaan dan kawasan perlindungan bagi pembiakan burung. Ia menerima kira-kira 1.2 juta pelawat setiap tahun.
- Bernama/dpa
