Paling Popular
Terkini

Satu lagi ‘cabaran’ untuk berdebat muncul menjelang pemilihan pemimpin peringkat pusat PKR. Kali ini Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.

Rodziah yang menjadi pencabar kepada Fadhlina dalam pemilihan 23 Mei ini berkata, dia bersedia untuk berdepan dengan menteri terbabit jika ada mana-mana stesen televisyen setuju menyiarkan debat di antara calon ketua Wanita PKR.

“Kalau adalah mana-mana siaran televisyen nak lancarkan (anjurkan) siaran debat, insya-Allah saya bersedia.

"Saya bukan pendebat yang baik, tapi insya-Allah saya akan bekerja, saya akan bagi tahu kerja-kerja yang kita boleh buat," katanya ketika siri Jelajah Hiruk di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Mengepalai kempen itu ialah penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berdepan dengan cabaran bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Kata Rodziah, debat berkenaan boleh dibuat dengan tumpuan berkisar mengenai hala tuju dan masa depan Wanita PKR. Melalui sesi tersebut, kata bekas exco Selangor itu lagi, kedua-dua calon boleh menyampaikan pandangan dan perancangan masing-masing.

Untuk rekod pemilihan kali ini bukanlah pengalaman pertama Rodziah bertanding bagi jawatan ketua Wanita PKR. Dia pernah bertanding dalam pemilihan 2022 namun kalah dengan 32 undi kepada Fadhlina.

Fadhlina mendapat 18,923 undi, manakala Rodziah 18,891.

Dalam tawarannya kepada Fadhlina malam tadi, Rodziah turut mengundang Nurul Izzah untuk menyertai debat berkenaan jika mahu.

“Kalau Nurul Izzah nak sertai sekali, tiada masalah, kita boleh adakan forum,” katanya lagi.

Sebelum ini Rafizi menyatakan kesediaannya berdebat dengan Nurul Izzah selepas dicadangkan oleh pihak lain dalam PKR.

Bagaimanapun, setakat ini Nurul Izzah dilihat tidak menunjukkan minat dan menyatakan rancangan pihaknya mahu mengadakan pertemuan bersemuka dengan ahli akar umbi sebagai pendekatan menarik sokongan.

Sementara itu, Rafizi memulakan ucapannya dengan sindiran dan gurauan mengenai kewajaran pemimpin PKR peringkat pertengahan dan bawahan menghadiri program berkenaan.

"Korang ni tak takut gambar kena ambil ke ni? Habislah… saya dah ambil setiap satu gambar,” katanya bergurau.

Rafizi yang juga menteri ekonomi kemudian menjelaskan, mereka tidak sepatutnya berasa bimbang jika dilihat cenderung kepada pihaknya berbanding Nurul Izzah – yang juga giat menjalankan kempen bagi menarik sokongan pemilih.

“Allah… apa nak takutnya? Kita baru menang ketua cabang saja pun. Itu – Menteri Besar Negeri Sembilan tak takut pun," kata Rafizi, merujuk kepada Aminuddin Harun.

Untuk rekod Aminuddin merupakan salah seorang Naib Presiden PKR dan akan mempertahankan jawatannya kali ini.

Bekas pegawai Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu memang salah seorang pemimpin kanan PKR yang berada dalam kem Rafizi.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Aminuddin menyifatkan ahli PKR yang hadir pada program itu sebagai pemberani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS