Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Itu pekerja saya sendiri, apa yang salah?'
Diterbitkan:  May 17, 2025 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan, menganggap penyebaran klip video yang menunjukkan dia memberi duit kepada seseorang sebagai taktik pihak tertentu sempena musim pemilihan PKR.

Menurut R Ramanan, sepatutnya tidak timbul sebarang isu kerana duit tersebut diberikan kepada pekerjanya dan bukan berlaku baru-naru ini.

“Itu pekerja saya sendiri, apa yang salah?

“Kalau kita buat (amalkan) politik kotor macam ini, sangat teruklah. Ini ibarat fitnah kerana kejadian itu bukan beberapa bulan punya cerita, tapi dah bertahun,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Untuk rekod Ramanan merupakan seorang daripada 12 calon yang bertanding untuk mengisi jawatan Naib Presiden PKR. Ketika ini namanya sudah beberapa kali dipetik oleh pemimpin parti, termasuk Rafizi Ramli.

Bekas Bendahari Agung MIC itu menyertai PKR pada 2020.

Menurut Ramanan, insiden dia menyerahkan wang kepada individu terbabit berlaku selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Selangor.

“Yang buat benda nakal ini, mereka tahu mereka siapa,” katanya.

Ramanan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar asas keusahawanan anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) di Shah Alam.

Timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu juga tidak menolak kemungkinan akan ada lebih banyak ‘taktik kotor’ muncul menjelang hari pengundian – yang dijadual berlangsung pada 23 Mei ini.

“Memang sekarang ini ada pemilihan parti banyak benda-benda macam ni akan diputar belit dan dipusing,” katanya.

Klip video yang mencetuskan kontroversi itu memaparkan Ramanan memberi wang tunai kepada seseorang di hadapan pejabat PH.

Dipercayai ia merupakan pusat khidmat Ramanan di Sungai Buloh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS