Dikemas kini dengan olahan semula berita.
Perkasa meletakkan prinsip sama dalam kesilapan lukisan bendera Malaysia tidak kira siapa pelakunya.
Pendirian itu dinyatakan ketika ditanya sama ada mereka membantah keras kesilapan grafik bendera Malaysia melibatkan PAS Terengganu seperti tindakan melibatkan akhbar Sin Chew Daily.
Kumpulan pendesak Melayu itu juga menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan menyeluruh dalam insiden melibatkan poster program kerajaan Terengganu.

Presidennya Syed Hassan Syed Ali menegaskan prinsip keadilan mesti ditegakkan tanpa memilih bulu atau kecenderungan politik.
“Isu-isu sensitif seperti ini yang rasanya telah melanggar peraturan atau undang-undang, semua sama.
"Kalau PAS buat silap pun, polis kena siasat, siasatlah,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media berkaitan demonstrasi antikerajaan Himpunan Melayu Berdaulat, di ibu negara hari ini.

Syed Hassan berkata Perkasa konsisten dalam semua isu berkaitan sensitiviti nasional dan tidak berpihak, termasuk kepada PAS.
Dia turut merujuk beberapa insiden terdahulu yang menerima perhatian pihak berkuasa seperti siasatan terhadap akhbar berbahasa Cina, penganjuran pesta makanan bayi, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kalau akhbar Cina kena soal siasat, KPM kena siasat, pesta makanan bayi pun ada isu bendera. (Kes PAS) ini sama juga,” katanya.
Sin Chew dikritik kerana grafik muka depan pada 18 April yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
PAS pula berdepan kritikan kerana memaparkan Jalur Gemilang kesilapan bilangan bucu bulan sabit dan jalur merah putih.
Terdahulu Ketua Pemuda Perkasa, Zool Amali Hussin mengecam keras Sin Chew dengan meminta editornya “berambus” kerana “tiada guna jadi rakyat Malaysia”.
