Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah: Bekas pengarah LKIM Selangor dipenjara 6 bulan, denda
Diterbitkan:  May 22, 2025 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Bekas Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini setelah didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM5,000 lima tahun lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu terhadap Khusairi Husain, 59, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini. Tertuduh turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mohd Nasir dalam penghakimannya menegaskan pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada bukti yang konsisten lagi konkrit bagi menyangkal pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Tertuduh mengakui menerima wang itu tetapi mendakwa ia untuk sumbangan Kelab Kebajikan dan Sukan LKIM Selangor, namun gagal mengemukakan sebarang resit dan dokumen sokongan bagi membuktikan wang itu diserahkan kepada kelab berkenaan, malah turut mengakui sebahagian wang itu digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Khusairi yang ketika itu berkhidmat sebagai Pengarah LKIM Selangor didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang dia ketahui agensi itu ada kena-mengena dengan tugasan rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 Nov 2020 dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Adly Zulfadly Zulkefly yang mewakili Khusairi dalam mitigasinya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dan memberikan penangguhan hukuman.

Dia juga menjelaskan anak guamnya seorang bapa tunggal dan menyara anak-anak yang masih bersekolah serta bapa yang sakit di kampung.

Dia berkata anak guamnya berkhidmat selama hampir 30 tahun di agensi berkenaan dan menjadi penerima anugerah perkhidmatan cemerlang di jabatannya serta tidak mempunyai rekod jenayah.

“Tertuduh sehingga hari ini telah digantung tugas dan dibekukan jawatan dan tidak lagi berkhidmat sepertimana ditugaskan dalam jawatannya,” kata peguam itu.

Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shahruzaman bagaimanapun memohon hukuman setimpal serta menegaskan sebagai pengarah Khusairi telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada orang bawahannya dan masyarakat umum.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman sehingga proses rayuan dibuat pihak pembelaan dengan wang jaminan dinaikkan kepada RM9,000.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding yang bermula sejak 2022.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS