Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa kecewa terhadap pelaksanaan dasar Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang menurutnya masih belum memberi kesan nyata kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Dia merujuk kepada Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35), pelan induk yang lahir daripada kongres tersebut dan dijadikan asas kepada usaha merapatkan jurang penyertaan ekonomi kaum Bumiputera.
"Alhamdulillah daripada kongres lalu, kita lahirkan satu pelan bersejarah Putera35 sebagai peta jalan baru untuk memperkukuh kedudukan bumiputera dalam ekonomi negara.
"Namun, sejujurnya saya ingin bertanya - adakah kita benar-benar telah menggarap agenda itu? Adakah impak yang dijanjikan sudah dirasai oleh masyarakat?
"Jika tanya saya belum lagi," katanya ketika berucap dalam majlis Pemukiman Setahun KEB 2024.
Zahid menegaskan dokumen strategik seperti Putera35 tidak seharusnya hanya menjadi penghias fail kabinet, sebaliknya mesti diterjemahkan menjadi tindakan konkrit.
Presiden Umno itu berkata ia komitmen nasional yang harus memacu penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh.
"Tetapi jika komitmen ini tidak diterjemahkan kepada tindakan, maka kita hanya membazir masa dan membazir kepercayaan rakyat.
"Jadi hari ini saya mahu kita melakukan anjakan serius dalam cara kita menterjemahkan hasrat besar KEB. Kita ada 132 ikhtiar di bawah Putera35.
"Saya mahu ia diberikan keutamaan penuh dan mesti ada keberhasilan," katanya lagi.
Untuk rekod, Putera35 dilancarkan pada 19 Ogos 2024 sebagai kerangka tindakan menyeluruh bagi mengangkat semula ekonomi Bumiputera dalam tempoh sedekad.
Pemantauan sistematik terhadap pelaksanaannya dilaporkan di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).
Sementar aitu, Zahid dalam nada tegas menyeru semua pihak yang terbabit agar berani melakukan anjakan besar, bagi memastikan pemukiman KEB bukan sekadar tinggal sebagai dokumen indah tanpa hasil.
Menurutnya, pelan strategik yang tersedia mesti diterjemah kepada tindakan berani, bersepadu dan berimpak tinggi.
“Saya mahukan satu dorongan mantap dan momentum nasional untuk menjadikan misi ini sebagai satu gerakan sebenar.
"Setakat ini, pelaksanaan program dan projek di bawah PuTERA35 telah mencapai lebih dari 15 peratus," katanya mengakhiri ucapan.
