Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini berseloroh dia mengambil masa lebih lama untuk mengundi barisan kepimpinan pusat parti kerana tidak bergantung kepada sebarang “cai” atau senarai calon pilihan.
"Saya tadi tak ada bawa cai. Sebab itu ambik masa panjang. Saya teliti satu-persatu. Itu yang sebaiknya.
"Tengok yang terbaik, kita undi. Kalau ada setengah cai sana, cai sini, saya tak.
"Dan saya harap dalam keputusan dua-dua itu diambil kira, yang dikira terbaik,” kata Anwar yang mengekalkan jawatan presiden tanpa dicabar bagi penggal ketiga dan terakhir.
Anwar yang ditemani isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian kepada wartawan selepas membuang undi di Berjaya Waterfront, Johor Bahru.
Menjelang pengundian, Jawatankuasa Pemilihan PKR telah melarang amalan berkempen secara berkumpulan, termasuk penyebaran senarai calon yang diketuai oleh mana-mana calon timbalan presiden, yang dikenali sebagai “cai” atau panduan mengundi untuk ahli.
