Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail menyatakan komitmennya untuk bersuara lantang dalam menegur kepimpinan tertinggi PKR sekiranya wujud jurang antara janji dan pelaksanaan.
Dalam penampilan mengejutkan di Kongres Nasional PKR hari ini, Menteri Dalam Negeri itu juga menyatakan kesediaannya untuk menjadi individu pertama yang menyanggah presiden parti Anwar Ibrahim sekiranya janji-janji yang dibuat tidak diterjemahkan dalam tindakan sebenar.
“Datuk Seri, izinkan saya jadi orang paling keras menegur Datuk Seri kalau Datuk Seri tak buat.
"Maksudnya ada jurang antara apa yang Datuk Seri cakap dan yang Datuk Seri buat,” katanya ketika berucap di hadapan perwakilan parti, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan bahawa sikap setia bukan bererti membisu terhadap kelemahan, sebaliknya harus bersikap jujur demi kebaikan parti dan rakyat.
“Saya akan jadi orang pertama yang menyanggah kalau itu tak berlaku,” katanya.

Semalam Anwar dalam ucapan dasar dan perasmian Kongres Nasional PKR berjanji akan membahagikan masa dalam tugasan membangunkan negara dan pada masa sama memperkasa kekuatan PKR.
Presiden PKR itu berkata bermula Jun ini, dia akan memperuntukkan sehari dalam seminggu untuk menumpukan kepada kerja-kerja membina kekuatan parti termasuk di peringkat cabang.
Anwar berkata usaha itu termasuk bagi memantapkan hubungan dan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan Madani.
‘Anwar bukan saja bapa Nurul Izzah’
Sementara itu, Saifuddin turut menyifatkan Anwar bukan hanya bapa kepada anaknya Nurul Izzah, tetapi merupakan bapa kepada semua.
"Datuk Seri (Anwar) sebagai bapa, bukan sahaja bapa kepada Nurul Izzah.. tetapi bapa kepada semua," katanya.
Saifuddin yang sebak pada awal ucapan bagaimanapun berkata dia tidak mempersoalkan segala keputusan yang telah dibuat dalam pemilihan parti semalam.
Menurut Saifuddin, dia menghormati Anwar kerana pengalaman dan pengorbanannya di dalam parti.
"Tak ada sebab untuk kami persoalkan. Taat setia kami, kasih sayang kami kerana usia (Anwar) lebih dari kami. Pengalaman lebih dari kami, dan ketiga pengorbanan Anwar lebih dari kami.
"Harapan ahli parti, rakyat, rantau Asean dan Umat Islam dunia juga tertumpu kepada perdana menteri," katanya.
