Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Sabah: GRS mahu kerjasama dengan PH dipertahankan
Diterbitkan:  May 27, 2025 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri ketika ini dipertahankan, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata kerjasama antara kedua-dua gabungan parti berkenaan ketika ini akan menjadi asas yang diambil kira dalam menentukan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Beliau berkata perkara itu juga telah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengumuman rasmi mengenai hasil perbincangan untuk membentuk kerjasama pada pilihan raya berkenaan akan diberitahu kelak.

“Kita mahu kerjasama. Kita pertahankan sekarang kerajaan GRS-PH. Itu asas kita dan kita telah sampaikan kepada perdana menteri. Jadi, yang lain-lain kita akan berbincang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jeti dan merasmikan pengoperasian semula perkhidmatan feri penumpang Kota Kinabalu-Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan perbincangan kerjasama antara GRS dengan gabungan dan parti lain pada PRN17.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah itu berkata setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung PRN17 memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih belum dibubarkan.

“Belum lagi pilihan raya. Bubar (DUN) pun belum. Sabar saja kamu tunggu, nanti diberitahu,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS