TINJAUAN | Inisiatif MyKiosk 2.0 yang dilancarkan kerajaan untuk memperkasakan peniaga kecil dengan prasarana moden menerima pelbagai maklum balas — daripada pujian terhadap aspek keselamatan hingga rungutan berkaitan struktur binaan.
Pelaksanaan program di lokasi PJS 2/8 itu merupakan sebahagian usaha memperkemas aktiviti perniagaan kecil menerusi reka bentuk lebih tersusun dan bersih.
Namun, sesetengah pihak membangkitkan kebimbangan mengenai perolehan yang tidak telus dan kios yang tidak digunakan sepenuhnya, selain amaran ia berisiko menjadi projek "gajah putih".
Tinjauan Malaysiakini mendapati ada peniaga yang menyambut baik kemudahan yang ditawarkan — antaranya aspek keselamatan barangan, keselesaan ruang niaga serta kemudahan akses pelanggan.

Pun begitu, terdapat juga suara kecewa terhadap mutu pembinaan dan fungsi kios yang didakwa tidak mesra pengguna.
Peniaga apam balik, Mohd Niezam Shah, 40, berkata kemudahan yang disediakan tidak menepati jangkaan dan tidak sepadan dengan kos kios tersebut.
“Bagi saya, kos RM25,000 itu besar sangat dan fungsi di dalam kios ini kurang memuaskan.
"Banyak bahagian bumbung yang bocor dan kipas yang diberikan pun ‘cap ayam’ (tidak berkualiti).
“Kapasiti bateri yang tidak bertahan lama serta kualiti bahan binaan juga mudah berkarat sedangkan kioks ni baru seminggu digunakan,” katanya.
Untuk rekod, kos RM25,000 untuk MyKiosk ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tempatan yang menerima dana daripada KPKT untuk projek berkenaan.
KPKT berkata kios yang berharga RM25,000 itu adalah untuk versi baru dan ia dilengkapi dengan panel solar, bateri yang lebih bagus, serta penambahbaikan yang lain termasuk tingkap hidraulik.
Kos bagi MyKiosk versi lama pula serendah RM15,000.
Bagi peniaga, kos menyewa hanya RM10 sehari.

Peniaga Mohd Fuad Ismail, 64, berkongsi pandangan sama menyifatkan reka bentuk kios tidak sesuai untuk kegunaan tempatan.
“Bagi saya tidak berbaloi. Ketinggian kios tidak seimbang dengan penduduk tempatan kerana terlalu tinggi.
"Struktur kios menyebabkan mudahnya berlaku ketirisan air masuk ke dalam. Pembekalan tenaga solar juga tidak mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga rojak buah Mohd Azizan Abu Talib, 38, menganggap kemudahan yang diterima sangat memudahkan urusan perniagaannya.

“Tahap keselesaan bagi saya adalah amat selesa. Tiada kelemahan apa-apa.
"Pembinaan Mykiosk ni bagi saya berbaloi kerana mudah bagi peniaga untuk menyimpan barangan dan tidak perlu dibawa pulang serta keselamatan barang terjamin.
"Apa yang dimaklumkan KPKT berkenaan fasiliti yang diberikan adalah benar,” katanya.
Kalimatul Qadra Razis, 31, yang membantu perniagaan keluarga pula menyambut baik inisiatif ini meskipun menegur sedikit kelemahan pada aspek peredaran udara.

“Bagi saya, Mykiosk ni selesa cuma kipas saja tidak efisien (tidak berapa kuat). Yang lain semuanya baik sahaja,” katanya.
Bagi pelanggan pula, maklum balas mereka turut bercampur-campur.
Ibrahim Sabaruddin, 77, pelanggan tetap di situ menyatakan kekurangan reka bentuk meja yang menyukarkan urusan jual beli.
“Sebagai pelanggan, saya tidak selesa. Tahap ketinggian meja terlalu tinggi membuatkan pelanggan sukar untuk membeli,” katanya.

Penghantar makanan Mohd Noor Firdaus, 40, yang kerap berurusan di MyKiosk sependapat mengenai kelemahan itu.
“Apa yang diniagakan sukar dilihat kerana meja kios terlalu tinggi. Ia perlu direndahkan sedikit agar akses kepada pembeli lebih mudah,” katanya.
Lain pula pandangan Muhammad Aidil Adha, 30, dan Izhar Saad, 24.
Kata mereka kemudahan yang disediakan memberi nilai tambah dari segi keselesaan dan perlindungan cuaca.

“Saya berpuas hati membeli di MyKiosk. Akses mudah dan selesa, ada bumbung untuk berteduh ketika panas,” kata Aidil.
“Saya selesa dengan penjualan sebegini dan merasakan prasarana yang dibekalkan oleh KPKT ini memuaskan kedua-dua belah pihak,” kata Izhar.
Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh peniaga dan pelanggan.
Pemuda MCA pada 26 Mei lalu memfailkan laporan kepada SPRM berhubung dakwaan ketidakwajaran dalam pelaksanaan projek MyKiosk di bawah KPKT.

Laporan sayap parti komponen BN itu dibuat bagi menggesa siasatan menyeluruh terhadap projek berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin pula menuntut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menjelaskan kepada rakyat tentang keberkesanan inisatif KPKT itu.
Sebelum ini, Nga memaklumkan kementeriannya bersedia disiasat oleh SPRM berhubung pelaksanaan program MyKiosk.
Nga turut memberi amaran kakitangan kementerian sedang giat mengumpulkan segala video yang menyebar berita palsu berkait isu berkenaan.
