Polis telah menerima satu rakaman video daripada kamera papan pemuka yang dipercayai merakam detik-detik awal nahas tragis membabitkan sebuah bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata rakaman itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat dan akan menjadi bahan penting dalam siasatan insiden tersebut.
“Kita akan rakam keterangan daripada pemilik rakaman itu dalam masa terdekat. Berdasarkan video tersebut, bas dilihat meluncur laju sebelum melanggar penghadang jalan yang kemudiannya menembusi bas itu dari depan,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh, hari ini.
Beliau berkata impak pelanggaran turut menyebabkan penumpang di bahagian kiri bas mengalami kecederaan serius.
“Penumpang di bahagian kiri bas yang terlibat secara terus kerana penghadang mengenai kiri bas, yang cedera juga banyak yang sakit di bahu kiri kerana terlepas dari tempat duduk kanan ke kiri,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video papan pemuka milik pemandu kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian. Video berdurasi beberapa saat itu menunjukkan bas berkenaan cuba memotong kenderaan tersebut sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
- Bernama
