Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas presiden Bolivia disiasat atas dakwaan sabotaj pilihan raya
Diterbitkan:  Jun 10, 2025 11:14 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

GLOBAL | Pihak berkuasa Bolivia semalam memulakan siasatan terhadap bekas presiden negara itu, Evo Morales, berhubung dakwaan melakukan sabotaj pilihan raya.

Langkah itu, lapor Xinhua, menyusul selepas muncul protes yang menuntut dia dibenarkan bertanding semula.

Peguam Negara Roger Mariaca pada sidang media berkata, pejabat pendakwa raya memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap aduan difailkan oleh Kementerian Kehakiman terhadap Morales atas beberapa kesalahan jenayah.

Aduan itu menuduh Morales terlibat dalam “keganasan”, menghalang proses pilihan raya, mengingkari resolusi perlembagaan, mengganggu perkhidmatan awam, dan merosakkan harta benda kerajaan.

Dia juga didakwa melakukan beberapa jenayah lain yang dikaitkan dengan sekatan jalan raya yang melumpuhkan beberapa wilayah utama negara pada minggu lalu.

Kerajaan mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan Morales mengarahkan penyokongnya “mengepung bandar” selepas pihak berkuasa pilihan raya menolak pencalonan untuk bertanding penggal keempat dalam PRU Bolivia pada 17 Ogos.

Sejak minggu lepas, sekatan jalan dilaporkan dibuat di kira-kira 20 lokasi pengangkutan kritikal di seluruh negara dengan tumpuan utama di wilayah Cochabamba.

Pertempuran dan kekurangan bekalan turut dilaporkan di kawasan terjejas.

Pendakwa raya berkata sekatan jalan itu melanggar hak asasi dan membahayakan nyawa rakyat Bolivia.

Pejabat pendakwa raya turut mengarahkan pengunduran secara taktikal pendakwa rayanya dari kawasan berisiko ke lokasi lebih selamat di wilayah itu, sementara mereka terus beroperasi dalam penyelarasan dengan pasukan polis.

- Bernama/Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS