Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menyingkap tragedi nahas bas pelajar UPSI
Diterbitkan:  Jun 10, 2025 9:44 PM
Dikemaskini: Jun 11, 2025 6:36 AM

Pagi semalam, kita semua dikejutkan dengan sebuah tragedi - sebuah bas terlibat dalam kemalangan yang meragut 15 nyawa dan mencederakan 33 yang lain.

Insiden itu berlaku antara jam 12.30 malam hingga 1 pagi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak.

Seluruh negara berduka dengan ramai menuntut kebertanggungjawaban, sama ada daripada pengendali bas hinggalah kepada pihak berkuasa.

Ia juga mengimbas kembali insiden menyayat hati yang berlaku pada 21 Ogos 2013, apabila sebuah bas ekspres yang membawa 53 penumpang terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Genting Highlands, menyebabkan 37 maut dan 16 cedera. 

Dengan kehilangan 15 nyawa awal pagi semalam, nahas bas melibatkan pelajar UPSI ini tercatat sebagai tragedi jalan raya paling buruk sejak lebih sedekad lalu.

Bagaimana tragedi berlaku?

Bas yang membawa pelajar UPSI tersebut dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak dipercayai dipandu laju oleh pemandu gantian daripada sebuah syarikat lain.

Bas itu telah melanggar sebuah Perodua Alza dari arah belakang sebelum hilang kawalan, terbabas dan merempuh penghadang lebuh raya.

Menurut siasatan awal, beberapa mangsa tercampak keluar dari bas manakala sebahagian lagi terperangkap di dalamnya.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut dari Hospital Gerik pada  pukul 1.10 pagi semalam.

PKOD APM Hulu Perak memaklumkan kemalangan itu secara keseluruhan melibatkan 48 mangsa, termasuk 13 orang yang meninggal di tempat kejadian dan dua lagi di hospital. 

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saldon, ketika pihaknya tiba, ada mangsa yang berjaya keluar sendiri, ada yang tercampak keluar dan ada juga yang masih berada di dalam bas.

"Ketua Operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas, untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas pemotong hidraulik," katanya menurut Bernama. 

Selain JBPM, turut terlibat dalam operasi menyelamat melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan dan polis.

Semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital. Mereka dirawat di Hospital Gerik, manakala mangsa yang terkorban dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Siapa mangsa dalam Perodua Alza?

Mangsa dalam kenderaan MPV tersebut melibatkan empat sekeluarga dengan semuanya terselamat. Pemandu, Mohd Lutfi Radzi, 37, dan salah seorang anaknya, Muhammad Ahsan Nafis, 2, menerima rawatan di Hospital Baling dan telah dibenarkan pulang.

Manakala isterinya, Nurul Ain Zakaria, 36, dan seorang lagi anak mereka, Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, dirawat di hospital sama dan dalam keadaan stabil. 

Siapa pelajar UPSI yang terkorban?

Mangsa yang terkorban terdiri daripada pelajar dari pelbagai fakulti di UPSI. Antara yang telah dikenal pasti termasuk empat pelajar dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) iaitu Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, Muhammad Adib Hazim Halim, 21 dan Nurul Fatihah Abu Setaman, 22. 

Turut terkorban ialah Muhammad Mustaqim Rosde, 21 dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif.

Tiga pelajar dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) juga dilaporkan maut, iaitu Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21 dan Nurly Sahirah Azman, 23. 

Selain itu, dua pelajar dari Fakulti Sains Kemanusiaan yang terkorban ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21 dan Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21. 

Mangsa lain termasuk Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 21 dan Fatin Nasrien Fadli, 22 dari Fakulti Sains Matematik, serta Nor Ayuni Maslan, 21 dari Fakulti Teknikal dan Vokasional. 

Anis Soffiyya Md Zaidi, 20 dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ) dan Fakhrul Arif Rosdi, 20 dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPEK) turut disahkan terkorban. 

Bagaimana dengan pemandu dan syarikat bas?

Pengendali bas tersebut adalah Syarikat Kenari Utara manakala pemandu adalah seorang lelaki berusia 39 tahun yang berasal dari Besut, Terengganu.

Semalam, syarikat tersebut menafikan dakwaan menggunakan khidmat pemandu lori sebagai pemandu gantian untuk memandu.

Pegawai Operasi Kenari Utara, Mohd Nazri Nawi berkata pihaknya sudah membuat penelitian dan tapisan sebelum mengambil pemandu gantian dan kedua-dua pemandu yang diambil memiliki rekod yang bersih selain bebas daripada sebarang bahan terlarang ketika menjalankan tugas.

Namun, polis mengesahkan pemandu berusia 39 tahun itu sebelum ini pernah dikenakan 18 saman, dengan 13 daripadanya melibatkan kesalahan memandu laju.

Bas yang terlibat dalam insiden semalam turut mempunyai 21 saman trafik, menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Yusri Hassan Basri seperti dipetik Harian Metro.

Hari ini, pemandu tersebut memohon maaf kepada keluarga mangsa atas apa yang berlaku namun menafikan dia memandu laju ketika kemalangan berlaku.

Sebaliknya, dia berkata brek bas tersebut tiba-tiba tidak berfungsi selain angin bas juga kosong, menyebabkan brek tangan tidak berfungsi dan gear tidak boleh ditukar.

"Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan sebelum itu saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain.

"Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Antara reaksi mangsa terselamat

Aleeya Maisarah Azizzani, 21, berkata ketika kejadian, dia masih berjaga dan menyedari bas yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan melanggar pembahagi jalan.

“Saya hanya mampu lihat kawan-kawan meronta dan menjerit minta tolong… Ada yang tersepit dan ada yang terus senyap, tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya kepada Bernama.

“Belakang saya sakit sangat… Saya cuba bangun, tapi memang tak boleh tolong orang lain. Saya hanya mampu selamatkan diri. Masa itu saya rasa bersalah sangat, tapi saya betul-betul tak mampu,” katanya lagi.

Turut mengundang perhatian adalah seorang pelajar yang terselamat daripada tragedi itu, ekoran tidak sempat menaiki bas kerana terlewat 15 minit.

Nur Adilah Mohd Rusdi, 20, terlepas untuk menaiki bas selepas kereta yang dinaiki bersama bapanya terkandas dalam kesesakan lalu lintas.

Namun, ibunya berkata Nur Adilah masih trauma dan enggan ditemu bual media.

Maklum balas kerajaan

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan turut menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan terhadap bas serta syarikat itu.

Anthony Loke

"Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai. Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada masa depan negara," katanya.

Hari ini pula, dia berkata kerajaan sedang merangka dasar baru termasuk pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat, dengan dasar berkaitan sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk mekanismenya bagi menutup ruang ia dimanipulasi.

Loke juga berkata pihaknya meneliti langkah untuk mengatasi isu kenderaan berat membuang pengehad kelajuan, agar tindakan tegas dapat diambil selepas ia diwajibkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir pula berkata kementeriannya akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi itu.

Dari segi undang-undang pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan undang-undang baru diperkenalkan, dengan membangkitkan Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007 di United Kingdom.

"Akta ini membolehkan sesebuah syarikat didakwa atas kegagalan serius dalam cara syarikat itu menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam dan kecuaian yang mengakibatkan kematian,” katanya.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad ketika ditemui di Hospital Baling berkata kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan RM1,000 kepada waris pelajar untuk perbelanjaan dan penginapan sepanjang pengurusan jenazah. 

Kerajaan Terengganu pula menanggung sepenuhnya kos pengebumian mangsa serta menyalurkan bantuan kepada waris, termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial.

Sultan Nazrin Shah

Turut menjadi perhatian adalah gambar Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyantuni keluarga mangsa, seperti yang dikongsikan di media sosial.

Sultan Nazrin antara lain menyuarakan rasa duka cita dengan apa yang berlaku dan menitahkan pihak berkaitan agar menjadikannya sebagai pengajaran.

Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Nazrin bertitah bahawa banyak langkah pencegahan boleh dan perlu dilakukan.

“Baginda berpandangan bahawa banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan, dan menitahkan semua pihak berkaitan agar menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran, mengenal pasti serta menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan, terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang,” katanya lagi.

Rakaman dashcam

Antara perkara yang paling banyak diperkatakan adalah rakaman kamera papan pemuka yang tersebar di media sosial, yang memaparkan bas berkenaan cuba memotong sebuah kenderaan di selekoh, sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Rakaman itu tular dan mencetuskan kemarahan orang ramai yang rata-rata menyifatkan pemanduan tersebut sebagai cuai dan tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata pihaknya akan mengambil keterangan pemilik rakaman itu dalam masa terdekat.

Rangkuman ini disediakan Ammar Izzudin Zainudin dengan perkembangan setakat lapan malam ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS