Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri dan anak pemandu Alza stabil, dirawat di Hospital Baling

Isteri kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza serta anak perempuan mereka berusia enam tahun yang terlibat dalam tragedi nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam, dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Baling.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mansor Zakaria berkata Nurul Ain Zakaria, 36, serta Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke bahagian ortopedik untuk rawatan susulan.

Bagaimanapun, katanya ketika dihubungi, suami Nurul Ain yang juga pemandu MPV berkenaan Mohd Lutfi Radzi, 37, bersama anak bongsu mereka, Muhammad Ahsan Nafis, 2, yang turut cedera dalam kemalangan itu, telah dibenarkan pulang petang semalam selepas menerima rawatan di hospital yang sama.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik banding, Gerik, 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah Perodua Alza.

Bas berkenaan yang membawa 42 pelajar UPSI  dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim,Perak.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS