Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: SPRM digesa tuduh semua bukan hanya dua atau tiga
Diterbitkan:  Jun 12, 2025 10:29 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Sebuah kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menegur Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, susulan kenyataannya bahawa dua atau tiga orang yang dikaitkan dengan skandal rasuah di Sabah akan didakwa dalam masa terdekat.

"Selepas siasatan serta laporan forensik yang lama dan panjang, mengapa hanya dua orang sahaja yang akan didakwa di mahkamah? Sebaliknya kesemua individu-individu yang terlibat ini perlu diheret segera ke mahkamah,” kata Suara Mahasiswa UMS dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini, Azam memaklumkan sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa tidak lama lagi berkaitan dengan skandal rasuah yang sedang disiasat di Sabah.

Azam turut membayangkan kemungkinan lebih ramai individu akan didakwa selepas ini.

Sehubungan itu, kumpulan mahasiswa tersebut menegaskan bahawa mana-mana individu yang telah didakwa di mahkamah perlu digantung tugas sepanjang proses perbicaraan berlangsung.

"Bahkan, kami turut menggesa mana-mana individu yang menghadapi pertuduhan untuk digantung tugas serta merta, sebagaimana yang terkandung dalam tuntutan ketiga Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang bakal berlangsung pada 21 - 22 Jun 2025 (Sabtu - Ahad) di Kota Kinabalu,” tambah mereka.

Pada 6 Jun lalu, Azam mengesahkan SPRM sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung satu video yang dikatakan mengaitkan seorang Adun Sabah. Kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dua minggu lebih awal.

Sebelum itu, pada 29 April, Azam menyatakan bahawa analisis forensik sedang dimuktamadkan ke atas 10 klip video yang diserahkan kepada SPRM pada 11 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS