Wartawan diserang anggota polis anti-rusuhan
Beberapa wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih hari ini telah ditendang dan dipukul oleh anggota polis anti-rusuhan yang bertindak meleraikan perhimpunan di kawasan Masjid Negara.
Beberapa wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih hari ini telah ditendang dan dipukul oleh anggota polis anti-rusuhan yang bertindak meleraikan perhimpunan di kawasan Masjid Negara.
Kekecohan berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika polis menembak meriam air dan gas pemedih mata ke atas lebih 2,000 orang.
Dalam keadaan kelamkabut tersebut, beberapa orang wartawan tempatan dan wartawan asing, turut menjadi mangsa.
Seorang wartawan wanita, yang enggan namanya disebut, berkata dia dipukul dengan cota oleh seorang anggota polis yang cuba meleraikan orang ramai di situ.
"Dia pukul...punggung saya dan dia kata kepada saya' Pergi, pergi, pergi, seolah-seolah saya ini kaldai," katanya.
Seorang lagi wartawan, yang juga tidak mahu namanya disebut, berkata dia ditendang dua kali oleh anggota polis -- di belakang dan bahagian pahanya.
Beliau kesal terhadap pihak berkuasa yang menggunakan "kekerasan yang tidak sepatutnya berlaku'" terhadap wartawan.
"Saya terkejut dengan tindakan ganas pihak polis itu," tambahnya.
Mereka berdua adalah antara lima wartawan yang sedang berdiri di belakang barisan anggota polis sebelum mereka tiba-tiba dipukul oleh kira-kira 10 anggota polis.
seorang daripada mereka, wartawan wanita dari sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan, cedera akibat dipukul. Seorang anggota polis menendang lehernya ketika dia terbaring dan enggan berhenti walaupun dirayu oleh wartawan-wartawan lain.
Zulhasnan tidak tahu
Juga didakwa anggota Unit Simpanan Persekutuan telah menyerang seorang wartawan Sweden dengan perisai mereka, manakala dua orang lagi wartawan dikatakan cedera selepas menjadi sasaran kanister gas pemedih mata dan tembakan meriam air.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata beliau tidak tahu yang ada wartawan telah dikasari oleh anggota polis.
"Adakah laporan dibuat? Ia tidak dimaklumkan kepada saya," katanya.
Perhimpunan itu, yang dianjurkan oleh Bersih untuk menuntut diadakan pilihanraya yang adil dan bersih, telah disertai oleh kira-kira 40,000 orang walaupun hujan lebat dan bandaraya dikawal ketat oleh pihak polis.
Mereka tidak dapat berhimpun di Dataran Merdeka seperti yang dirancangkan kerana kawasan itu telah ditutup oleh polis, menyebabkan mereka terpaksa berhimpun di Masjid Jamek, Pasar Seni, Kompleks Sogo dan Masjid Negara. Berita asal

