GLOBAL | Presiden AS, Donald Trump, kembali ke Washington lewat Isnin selepas memendekkan penyertaannya dalam sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada susulan ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Rumah Putih.
“Presiden Trump melalui hari yang baik di G7, malah sempat memeterai perjanjian perdagangan penting dengan United Kingdom dan Perdana Menteri Keir Starmer,” kata jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt menerusi platform X.
“Banyak perkara telah dicapai, tetapi disebabkan situasi semasa di Timur Tengah, Trump akan berlepas pulang malam ini selepas makan malam bersama ketua-ketua negara,” katanya.
Bercakap kepada pemberita, Trump pula melahirkan rasa kesal kerana terpaksa meninggalkan sidang itu lebih awal, namun menyifatkan keadaan semasa sebagai “perkara besar”.
“Saya harap dapat terus bersama esok, tetapi mereka faham situasinya. Anda mungkin nampak apa yang saya nampak dan saya perlu kembali secepat mungkin,” katanya.
Saluran Fox News melaporkan Trump mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (NSC) supaya mempersiapkan “situation room” di Rumah Putih bagi sesi taklimat keselamatan.
Terdahulu, menerusi platform Truth Social, Trump menggesa orang awam di Tehran agar segera berpindah susulan konflik yang semakin memuncak di antara Israel dan Iran sejak Jumaat lalu selepas Tel Aviv melancarkan serangan udara dan dron secara serentak ke atas beberapa lokasi di Iran.
Antara yang diserang ialah kemudahan ketenteraan dan nuklear yang mencetuskan serangan balas dari Tehran.
- Bernama/Anadolu
