Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR kesal kesilapan maklumat salah terkait IGP
Diterbitkan:  Jun 21, 2025 10:04 AM
Dikemaskini: 2:04 AM

Ketua Polis Negara yang baru Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi anggota PKR, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti yang disiarkan dalam media sosial sebuah akhbar tempatan semalam.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata penyebaran profil yang salah dan berkait dengan parti politik boleh menjejaskan imej serta kredibiliti Ketua Polis Negara, selain menimbulkan persepsi negatif kepada PKR sebagai parti pemerintah sekiranya terdapat rakyat mempercayai pelantikan Mohd Khalid dibuat atas dasar politik.

“PKR kesal atas kesilapan maklumat profil Ketua Polis Negara ke-15 Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di dalam media sosial itu yang memaparkan beliau pernah menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah berkata PKR berpendirian kesilapan itu tidak wajar berlaku dan menggesa agar satu siasatan dalaman dijalankan oleh pihak akhbar terbabit.

Dia turut menyertakan lampiran senarai Pengerusi MPN Kedah mengikut tahun lantikan.

1999 - Johari Abdul
1999 - Sheikh Azmi Ahmad
2000 - Johari Abdul
2004 - Akashah Ismail
2005 - Johari Abdul
2007 - Zamri Yusuf
2008 - Ahmad Kasim
2010 - Wan Salleh Wan Isa
2013 - Johari Abdul
2014 - Dr Azman Ismail
2018 - Johari Abdul
2022 - Nurul Izzah Anwar
2023 - Nurin Aina Abdullah

Mohd Khalid, 60, yang dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Razarudin Husain berkuat kuasa semalam pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 Sept 2021.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS