Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PMO: Insiden bakar karikatur gambaran harapan rakyat mahu basmi rasuah
Diterbitkan:  Jun 24, 2025 5:54 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Sebagai tokoh yang datang dari gerakan mahasiswa, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO), Anwar Ibrahim sangat memahami kemarahan yang ditujukkan oleh sekumpulan mahasiswa semasa mereka mengadakan protes di Kota Kinabalu pada Ahad lalu.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Anwar juga menitipkan pesan bahawa semangat perubahan memang bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.

Di pihak kerajaan, katanya, komitmen melaksanakan reformasi kekal teguh dan ia sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.

"Insiden pembakaran karikatur perdana menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita tentang betapa besarnya harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi," katanya dalam taklimat harian PMO hari ini.

Tunku Nashrul berkata Anwar menjadi saksi bahawa walau sepedas mana pun kritikan yang dilontarkan, ia adalah antara bahagian yang penting untuk meraikan demokrasi.

Komitmen melakukan reformasi, katanya, tidak akan terhenti setakat ini sebaliknya akan tetap terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur.

Insiden membakar karikatur Anwar itu berlangsung pada penghujung demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang disertai kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Karikatur Anwar itu disertai tulisan “Madani Pelindung Rasuah Sabah” sebagai simbol kemarahan kumpulan terbabit kepada kerajaan yang dianggap gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.

Setakat ini beberapa pihak sudah mengecam tindakan mahasiswa berkenaan.

Tunku Nashrul berkata selaras dengan pendekatan Madani yang mengutamakan nilai ihsan, Anwar mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UMS tidak menyekat perjalanan akademik pelajar terbabit.

Menurut Anwar, katanya, masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan.

"Demi generasi akan datang, kerajaan Madani akan terus menapak di landasan reformasi, memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemah kearah kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS