Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan isu tak disambung enam bulan - Tengku Maimun
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 10:38 PM
Dikemaskini: 2:38 PM

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, bukan satu isu sekiranya tempoh perkhidmatannya tidak disambung.

Pada hari terakhirnya bertugas, Tengku Maimun berkata dia tidak mempunyai sebarang penyesalan sepanjang enam tahun berkhidmat sebagai ketua hakim negara.

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya telah berkhidmat selama enam tahun dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai 2025…dalam keadaan sihat, dan saya rasa itu sendiri adalah satu nikmat.

“Tiada penyesalan, kerana saya telah melengkapkan tempoh perkhidmatan. Hakikat saya tidak disambung selama enam bulan lagi itu bukan isu. Langsung tiada isu. Enam bulan tidak begitu signifikan jika dibandingkan dengan enam tahun,” lapor Kosmo ketika Tengku Maimun ditemui di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Sementara ketika itu ditanya harapannya terhadap Ketua Hakim Negara baharu yang akan menggantikannya, Tengku Maimun memberitahu agar legasi mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman tetap diteruskan.

Tengku Maimun akan bersara wajib apabila genap usia 66 tahun esok, namun tempoh perkhidmatannya boleh disambung selama enam bulan lagi sebagaimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan disuarakan oleh pelbagai pihak.

DAP hari ini menyatakan sokongan agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan, manakala Majlis Peguam menyeru agar satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan kekosongan jawatan dalam badan kehakiman.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengecam dakwaan wujud usaha melobi kerajaan untuk menyambung tempoh perkhidmatan Tengku Maimun.

Anwar menyifatkan usaha itu sebagai cubaan mempolitikkan institusi kehakiman, dan menegaskan bahawa ia tidak sepatutnya berlaku terhadap sebuah institusi yang bebas.

Selain Tengku Maimun, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara pada Rabu ini.

Beberapa tokoh hakim kanan lain turut dijadualkan bersara dalam bulan-bulan akan datang, termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, serta hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah.

Tempoh perkhidmatan Abdul Rahman, Zabariah dan Hanipah telah pun dilanjutkan selama enam bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS