Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Ambalat: Benarkah Malaysia tak serah seinci tanah, soal Muhyiddin
Diterbitkan:  Jul 2, 2025 5:12 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu rakyat mengenai apa-apa persetujuan yang dicapai dengan Indonesia dalam rundingan mengenai isu Ambalat.

Bekas perdana menteri itu berkata, dia telah meminta jaminan dan bertanya kepada Anwar berhubung dakwaan bahawa tidak ada seinci pun tanah negara yang akan dikorbankan dalam rundingan dengan Indonesia berhubung Ambalat.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat dua tahun lalu katanya, Anwar bersetuju dengan perkara itu, namun sehingga hari ini tiada penjelasan secara terperinci mengenai perjanjian tersebut dibuat oleh kerajaan yang bersetuju melaksanakan perjanjian pembangunan bersama (JDA) di Blok Ambalat, pada 27 Jun lalu.

"Benarkah Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam JDA ini? Apakah terma-terma perjanjian ini?

“Tidakkah ia tidak menjejaskan kedudukan Malaysia dalam tuntutan kedaulatan ke atas Ambalat?

"Oleh kerana pertikaian mengenai Ambalat melibatkan sempadan negeri Sabah, adakah negeri Sabah telah dirunding sebelum perjanjian pembangunan bersama dipersetujui Malaysia dan Indonesia?" soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Pembangunan bersama

Bulan lalu, Anwar dilaporkan berkata, Malaysia dan Indonesia harus meneruskan pembangunan bersama kawasan Ambalat yang kaya dengan minyak tanpa menunggu untuk menyelesaikan isu perundangan dan kawal selia.

Kenyataan Anwar sejak itu mendapat kritikan hebat terutamanya daripada pemimpin Sabah, yang mempersoalkannya kerana membuat keputusan itu tanpa berunding dengan negeri.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, turut mengingatkan kerajaan supaya tidak membuat keputusan sedemikian secara tergesa-gesa. Ini, terutamanya apabila negara jiran itu menuntut hak ke atas wilayah maritim Malaysia.

Justeru, dia menegaskan rancangan bersama Putrajaya dengan Jakarta untuk meneroka minyak dan gas di Blok Ambalat yang menjadi pertikaian mesti dibahaskan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh berkata kerjasama ekonomi serantau wajar disambut baik.

Namun jelasnya, sebarang bentuk perjanjian pembangunan bersama di wilayah yang masih menjadi pertikaian maritim seperti Ambalat hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat yang tegas.

"Ia mesti berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Puertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan tidak boleh dalam apa jua bentuk dianggap sebagai penyerahan hak kedaulatan.

Lagi persoalan

Ambalat menjadi titik pertikaian sejak tahun 1979 dan merupakan kawasan yang dituntut secara sah oleh Malaysia.

"Ia bukan sekadar zon ekonomi berpotensi, tetapi simbol ketegasan kita dalam mempertahankan sempadan maritim.

Dalam konteks ini, apa-apa pengumuman niat untuk pembangunan bersama tanpa kejelasan syarat, tanpa mandat Parlimen dan tanpa jaminan terhadap hak negeri Sabah merupakan langkah cuai yang boleh membawa kesan jangka panjang terhadap tuntutan sah Malaysia," katanya.

Soal Muhyiddin lagi, rakyat juga berhak bertanya adakah terdapat klausa yang membenarkan Malaysia menarik diri jika haknya dinafikan?

"Adakah Sabah dijamin bahagian hasil atau hak mentadbir sumber tersebut? Atau adakah tindakan ini hanya akan mengukuhkan tuntutan Indonesia melalui 'pengiktirafan tersirat' dalam perjanjian pembangunan bersama?

"Sebarang kerjasama yang melibatkan wilayah pertikaian mesti ditangguhkan sehingga sempadan diputuskan secara sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau mana-mana saluran undang-undang yang diiktiraf.

"Kita tidak boleh membenarkan tindakan hari ini menjadi duluan berbahaya untuk masa depan dan implikasi serius jangka panjang terhadap kedaulatan negara.

“Hak dan maruah negara tidak boleh diperjudikan," katanya yang juga presiden Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS