Kabinet belum membuat sebarang keputusan berhubung laporan yang dikemukakan oleh panel bebas yang ditugaskan untuk mengesahkan kesahihan 'klip video Lingam'.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, laporan tersebut telah dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara dan anggota kabinet belum lagi melihat laporan tersebut.

"Kabinet telah memutuskan bahawa laporan tersebut akan diberikan kepada para menteri untuk membolehkan mereka membacanya dan mengesyorkan dalam mesyuarat akan datang, tindakan yang wajar diambil," kata Nazri.

Nazri berkata, beliau akan menerima laporan itu esok, sambil menambah bahawa masa secukupnya mesti diberikan kepada para menteri untuk mengkaji laporan tersebut secara terperinci.

Beliau juga berkata, para menteri telah diberi taklimat mengenai kandungan laporan tersebut, tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut.

Ditanya sama ada laporan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai, Nazri berkata: "Saya telah mengatakan di Parlimen bahawa saya mendesak supaya laporan itu diumumkan."

Mengenai laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily , yang memetik sumber-sumber bahawa ketiga-tiga anggota panel tersebut telah mengesyorkan supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan, Nazri berkata, sumber-sumber itu bukan dari kerajaan.

"(Nampaknya) pihak akhbar lebih tahu...saya tidak tahu mengenai syor tersebut. Saya yakin mereka bukan sumber-sumber kita," katanya.

Menurut beliau lagi, kabinet, sebagai badan pemutus tertinggi, tidak akan mendapatkan pandangan Peguam Negara sebelum membuat pilihan berhubung dengan laporan tersebut.

Panel tersebut yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengesahkan kesahihan klip video tersebut yang menunjukkan perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Mengadap Sultan

Mengulas mengenai hasrat Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadap semua Raja-Raja Melayu untuk mengemukakan petisyen mengenai pembaharuan pilihanraya, Nazri menyifatkannya sebagai satu usaha yang sia-sia.

"Walaupun apa sekali pun, sama ada di Persekutuan Malaysia atau di negeri-negeri, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan adalah sebahagian daripada kerajaan. Kita adalah entiti yang tidak boleh dipisahkan," dakwa Nazri.

Di Malaysia, katanya, kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan adalah lebih tinggi daripada politik.

Oleh itu, katanya, sebarang langkah untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong dan Sultan boleh dianggap sebagai mengheret mereka ke kancah politik.

"Petisyen yang mereka kemukakan akan sampai balik kepada kita juga, pihak Eksekutif. Ini menunjukkan ianya adalah sia-sia sahaja," katanya.

Bersih telah mengumumkan bahawa pihaknya akan mengadap para Sultan ekoran kejayaan perhimpunan anjurannya yang dihadiri oleh kira-kira 40,000 orang di Istana Negara Sabtu lalu serta penyerahan memorandum menuntut pembaharuan pilihanraya kepada wakil Yang di-Pertuan Agong. Berita asal